Kampung Salinatan Dipilih Untuk Program Kampung Sejahtera

NABAWAN: Kampung Salinatan, Pensiangan yang terletak lebih kurang 100 kilometer dari Pekan Nabawan telah dipilih untuk dimasukkan di bawah Program Kampung Sejahtera bermula tahun hadapan.

Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, pemilihan tersebut berdasarkan kepada keperluan pembangunan asas di kampung tersebut yang masih berhadapan dengan masalah jalan raya dan ketiadaan bekalan elektrik serta masih bergantung kepada air graviti.

“Program Kampung Sejahtera adalah program di bawah KPLB Sabah yang bertujuan untuk membangunkan secara berperingkat kemudahan asas dan sosio-ekonomi di kampung-kampung di luar bandar yang terletak jauh dari kawasan pekan.

“Kita berharap melalui program ini, penduduk Kg Salinatan akan menikmati beberapa kemudahan asas dan ameniti sosial serta program sosio-ekonomi daripada agensi-agensi Kerajaan. Kita mungkin tidak dapat menyelesaikan semua keperluan pembangunan, tetapi program ini merupakan saluran kita untuk membantu komuniti di kampung ini mengikut peruntukan yang diberikan kepada Kementerian,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap sempena lawatan kerja beliau di Mesej Getah Salinatan, Mukim Pensiangan, Pagalungan di Balai Budaya Kampung Salinatan, di sini, pada Khamis.

Ewon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, berkata, antara kampung lain yang turut dikenalpasti untuk dimasukkan di bawah Program Kampung Sejahtera ialah Kg Tiong Baru Membakut, Kg Mangkasulap Paitan dan Kg Piak-Piak Kota Belud.

Dalam majlis tersebut, Ewon juga meluluskan permohonan pembinaan sebuah jambatan kampung yang diperlukan oleh para penduduk.

Katanya lagi, KPLB Persekutuan juga telah meminta senarai 10 kampung untuk pelaksanaan Program Bekalan Elektrik Luar Bandar Alternatif (BELBA) dan 10 lagi kampung untuk Program Bekalan Air Luar Bandar Alternatif (BALBA) pada tahun hadapan.

“Saya telah membantu mendapatkan peruntukan sebanyak RM50,000 menaiktaraf kemudahan bekalan air graviti di kampung ini pada tahun lepas dan saya berharap ianya telah memberi manfaat kepada para penduduk di kampung ini. Manakala, kita akan cadangkan kampung ini sebagai salah satu senarai kampung untuk Program BELBA KPLB Persekutuan pada tahun hadapan supaya sumber sungai di sini boleh dijadikan sumber tenaga elektrik secara makro-hidro,” katanya.

Kampung Salinatan pernah dinobatkan sebagai juara Pertandingan Desa Cemerlang peringkat daerah Nabawan pada tahun 2004 di bawah Program KPLB Persekutuan.

Turut hadir dalam majlis itu, Adun Nabawan Datuk Bobbey Suan, Setiausaha Tetap KPLB Sabah Fredian Gan, Pegawai Daerah Nabawan Virus Malitam, Penolong Pegawai Daerah Kecil Pagalungan Roger Appolonius dan Ketua Bahagian Skim LIGS Alexsius Modiun.

BorneoToday