Enam Nelayan Asing Ditahan Di Perairan Kota Kinabalu

Nelayan berkenaan. Foto Ihsan APMM

KOTA KINABALU: Enam nelayan ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) selepas didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dalam Operasi Naga Timur yang dilaksana di sekitar perairan Kota Kinabalu, semalam.

Kumpulan nelayan itu ditahan kira-kira 10.30 pagi di kedudukan 0.6 batu nautika barat daya Pulau Gaya ketika sepasukan anggota APMM membuat rondaan di kawasan berkenaan.

Timbalan Pengarah Operasi Maritim Sabah, Kapten Maritim Asmawati Mohd Tujeri berkata, hasil pemeriksaan terhadap sebuah bot nelayan mendapati semua kru tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.

“Selain itu didapati, nama tekong tidak sama seperti yang tertera pada lesen bot terbabit.

“Semua nelayan ditahan berusia antara 16 hingga 38 tahun yang terdiri daripada dua warga Indonesia, manakala empat lagi warga Filipina,” katanya dalam satu kenyataan media, di Kota Kinabalu, hari ini.

Katanya lagi, semua mereka ditahan dan dibawa ke jeti APMM Sepanggar untuk tindakan lanjut.

“Mereka ditahan mengikut Akta Imigresen 1959 dan Enakmen Pelabuhan dan Dermaga Sabah 2002,” katanya.

Terdahulu, Asmawati dalam kenyataannya turut menyeru semua komuniti maritim supaya mematuhi undang-undang laut dan melakukan aktiviti perikanan seperti dalam lesen mereka.

Selain itu, beliau juga meminta komuniti maritim sentiasa mengambil berat faktor keselamatan termasuk menggunakan jaket keselamatan ketika menjalankan aktiviti di laut.

“APMM memohon kerjasama daripada komuniti untuk melaporkan sebarang kegiatan menyalahi undang-undang di perairan negara di Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah di talian 088-270165 atau 999 untuk sebarang kejadian kecemasan di laut,” katanya.

Harian Metro