Tiada ADUN PPBM Hadir Sambutan Hari Kebangsaan Sabah

KOTA KINABALU: Sambutan Hari Kebangsaan 2019 Peringkat Negeri Sabah hari ini sedikit janggal dengan kegagalan pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah untuk hadir bersama pemimpin kerajaan memeriahkan acara tersebut.

Upacara bermula pada pukul 7.30 pagi itu yang disempurnakan Yang Dipertua Sabah, Tun Juhar Mahiruddin disertai semua pemimpin Kabinet Sabah termasuk Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Turut kelihatan kebanyakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Warisan, UPKO dan parti komponen Pakatan Harapan iaitu DAP Sabah serta PKR Sabah.

Namun, tiada seorang pun ADUN Bersatu Sabah atau pimpinan atasan mereka yang hadir kecuali cuma ahli biasa yang kelihatan ada di lokasi sambutan tersebut walaupun parti itu telah menyatakan komitmen untuk menyokong kerajaan negeri.

Ditanya tentang perkara itu, Menteri Pembangunan Infrastruktur merangkap pengerusi penganjur, Datuk Peter Anthony berkata, jemputan telah diserahkan kepada parti itu untuk hadir, justeru keputusan untuk datang bergantung kepada mereka.

“Kita telah menjemput semua termasuk juga rakyat jelata, semua penduduk atau pun orang Sabah untuk bersama-sama kita pada hari ini, termasuk juga sama ada daripada komponen parti, sukarelawan dan semua rakyat Sabah.

“Saya nampak mereka ada yang hadir, jadi kalau kita nampak kelibat mungkin ada antara parti-parti yang tidak hadir kemungkinan mereka ada jadual yang begitu padat tapi saya percaya di peringkat ahli jawatankuasa kita telah hantar jemputan kepada semua bukan sahaja kepada wakil rakyat, kepada parti-parti pertubuhan dan kepada semua yang ada di negeri Sabah untuk bersama-sama kita meraikan sambutan,” katanya kepada pemberita selepas acara itu.

Kegagalan pemimpin Bersatu Sabah untuk hadir di program anjuran kerajaan negeri itu bukanlah kali pertama kerana sebelum ini, mereka juga tidak menghadiri Sambutan Aidilfitri 2019 kerajaan negeri Sabah yang diadakan di pekarangan Menara Tun Mustapha pada Jun lalu.

Bagaimanapun, pemimpin-pemimpin Bersatu Sabah dilihat hadir ketika majlis aidilifitri peringkat negeri anjuran PKR Sabah yang dihadiri pemimpin negeri termasuk Timbalan Ketua Menteri Datuk Jaujan Sambakong.

Tindakan tersebut menimbulkan tanda tanya tentang komitmen Bersatu Sabah yang diwakili bekas pemimpin UMNO Sabah untuk memberi sokongan kepada kerajaan negeri pimpinan Warisan seperti yang digembar-gemburkan.

BorneoToday