Susunan Semula Kabinet, Mohamaddin Sedia Bertukar Portfolio

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi. – Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi berkata, beliau sedia menghadapi sebarang kemungkinan pertukaran portfolio jika penyusunan semula Kabinet dilakukan.

Beliau berkata, setiap menteri perlu akur dengan sebarang keputusan dibuat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Sebagai seorang menteri, kita tidak boleh mengatakan kementerian itu milik kita, sebaliknya pada bila-bila masa boleh dikeluarkan termasuk diganti dengan orang lain.

“Prestasi kerja saya bukan dinilai diri sendiri, sebaliknya oleh orang lain dan pada tahun lalu, saya mendapat 93 peratus dalam Indeks Petunjuk Prestasi (KPI) sebagai menteri,” katanya pada sidang media selepas pembentangan Prestasi Pelancongan Separuh Tahun Pertama 2019 di kementeriannya, di sini, hari ini.

Dr Mahathir semalam berkata, tiada menteri baharu akan dilantik dalam Kabinet, sebaliknya mungkin berlaku pertukaran kecil portfolio menteri.

Perdana Menteri berkata, beliau ada menyatakan dalam mesyuarat Kabinet mengenai cadangan melakukan sedikit pertukaran portfolio, namun belum memutuskan bila dilaksanakan.

Sementara itu, sumber berkata, pertukaran itu dijangka diumum Rabu depan selepas Perdana Menteri mengadap Yang di-Pertuan Agong bagi mendapat perkenan.

Mohamaddin turut membidas kenyataan Presiden GERAKAN, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai yang mencadangkan beliau seorang daripada empat menteri yang bakal digugurkan jika Perdana Menteri, berhasrat merombak Kabinet.

“Beliau (Presiden GERAKAN) boleh berkata apa saja, namun sebarang keputusan terletak di tangan Perdana Menteri,” katanya.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *