Lelaki Indonesia Gagal Seludup Keluar 150 Batang Kayu Dari Tawau

Foto BESTAWAUfm

TAWAU, 23 Ogos: Pasukan Polis Marin (PPM) menggagalkan cubaan seorang lelaki Indonesia menyeludup keluar 150 batang kayu gergaji jenis Armara pelbagai saiz ke Indonesia melalui perairan Sungai Pukul dekat sini, semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata kes itu dikesan dalam operasi Op Gelora selepas terserempak sebuah kapal kayu Indonesia KLM Sabar Hati dalam keadaan mencurigakan sebelum ditahan pada 9.30 pagi.

“Pemeriksaan awal, juragan berusia 39 tahun gagal mengemukakan dokumen  sijil pendaftaran pengimport serta lesen import bagi membawa kayu berkenaan dianggarkan bernilai RM260,000.

“Tiga anak kapal yang berada di atas kapal itu turut ditahan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Menurut Mohamad Pajeri kesemua mereka serta rampasan kayu dan bot ditunda ke Pangkalan PPM Tawau untuk tindakan lanjut.

Katanya juragan itu disyaki melakukan kesalahan di bawah Enakmen Hutan Negeri Sabah 2015.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *