‘Tidak Perlu Beg Mahal, Cukup Dengan Hati Emas’ – Stacy

Akim dan Stacy

“Kalau dapat hadiah, saya terima. Kalau tak ada sekali pun, saya okay sahaja. Saya bukan jenis meminta-minta malah jauh sekali nak menyusahkan suami,” kata penyanyi popular Stacy mengenai luahan hati suaminya yang juga penyanyi Akim Ahmad kerana tidak dapat memberikan hadiah sempena hari jadinya yang ke-29 pada Ahad lalu.

Stacy atau nama sebenarnya Ummu Shaikhah Stacy Anam berkata, dia tidak pernah berharap Akim memberikan hadiah mahal seperti tas tangan berjenama.

Malah, Stacy yang kini popular menerusi lagu Khayal berkata kebaikan dan tanggungjawab yang ditunjukkan Akim terhadap dirinya dan dua anak mereka sudah memadai.

“Setiap hari pun dia sudah berikan saya kehidupan yang bermakna untuk dijadikan memori. Saya bersyukur sangat. Alhamdulillah, adanya dia dan anak-anak hadiah yang cukup untuk buat saya senyum dan bersyukur setiap hari.

“Duit boleh dicari tetapi kehidupan yang harmoni dan dapat senyum bersama orang yang ikhlas berjuang bersama kita itu bukan senang. Saya bersyukur dengan adanya suami dan mereka dalam lingkungan itu.

“Saya juga tak perlukan tas tangan dan lainnya. Cukuplah dengan hati emas yang dia sudah berikan kepada saya selama ini. Alhamdulillah,” katanya kepada Harian Metro.

Bagaimanapun, kata Stacy, Akim yang juga vokalis kumpulan Akim & The Majistret menghadiahkannya lagu baru berjudul Yang Satu.

Lagu itu turut diperdengarkan secara eksklusif pada majlis sambutan ulang tahun Stacy dan meraikan 11 tahun pembabitannya dalam bidang muzik, baru-baru ini.

“Terima kasih untuk lagu Yang Satu dan ditujukan kepada saya. Terasa seperti bidadari cantik pula apabila lagu ini ditujukan kepada saya.

“Siapa yang sudah dengar lagu Yang Satu daripada Akim & The Majistret tempoh hari? Manis kan? Terutama untuk yang ingin menghargai isteri,” katanya.

Harian Metro