Sabah, Thailand Terokai Kerjasama Perniagaan

DUTA Besar Thailand ke Malaysia, Narong Sasitorn (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Kenny Chua pada Forum Perdagangan dan Perniagaan antara Thailand dan Sabah di Kota Kinabalu. – Foto Edmund Samunting

KOTA KINABALU: Sabah berminat meneroka potensi kerjasama perniagaan dengan pelabur Thailand dalam pelbagai sektor yang ditawarkan kedua-dua pihak.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata antara industri yang berpotensi ialah pelancongan, pertanian, pembuatan, automotif dan pemprosesan kayu.

“Pada masa ini, sektor pelancongan di Sabah berkembang dengan pesat namun berdepan masalah kekurangan bilik hotel. Ini memerlukan pembinaan lebih banyak hotel.

“Industri pelancongan yang semakin meningkat akan membuka banyak peluang perniagaan kepada industri berkaitan seperti perkhidmatan makanan, perniagaan rekreasi, perkhidmatan pengangkutan dan tiket serta tempahan,” katanya.

Teks ucapannya dibacakan Pembantu Menteri Kewangan, Kenny Chua dalam ucaptama Forum Perdagangan dan Perniagaan antara Thailand dan Sabah, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Duta Besar Thailand ke Malaysia, Narong Sasitorn dan delegasi pelabur utama Thailand.

Mengulas lanjut mengenai ekonomi Sabah, Shafie berkata ia secara beransur-ansur berorientasikan eksport dan didominasi dengan ketara oleh komoditi utama seperti pertanian, terutamanya minyak sawit, perhutanan dan petroleum.

Katanya, kerajaan negeri juga merancang untuk mempelbagaikan industri untuk membuka peluang pekerjaan tempatan selain menjangkakan sektor automotif akan menjadi sumber pendapatan baharu dalam usaha meningkatkan lagi pembangunan ekonomi negeri.

Sementara itu, Sasitorn dalam ucapannya berkata, Sabah adalah pintu masuk Thailand ke pasaran BIMP-EAGA dan mereka berharap dapat terbabit secara lebih komprehensif dalam kegiatan perniagaan di negeri ini.

Katanya, produk Thailand sesuai untuk pasaran Sabah adalah makanan, produk pertanian bernilai tinggi dan bahan binaan.

“Dari Sabah, kami ingin mengimport produk akuakultur, perabot, pembuatan dan produk biokimia.

“Thailand menyokong visi Sabah untuk mempelbagaikan sektor pertanian dan pelancongan lebih-lebih lagi dengan adanya penerbangan terus antara Bangkok dan Kota Kinabalu. Namun, kita masih melihat beberapa lagi jenis perkongsian dalam sektor perubatan dan pelancongan,” katanya.

Sasitorn berkata, Malaysia menjadi rakan dagang nombor satu Thailand di ASEAN dengan jumlah nilai perdagangan dua hala AS$25 bilion.

Beliau berkata, Thailand mampu menjadi rakan perdagangan ketiga Sabah yang masih belum mencapai potensi penuh.

“Ini akan menjadi rantau ekonomi dinamik dalam tempoh lima hingga 15 tahun yang akan datang,” katanya.

Berita Harian

25