Warisan Mantapkan Pemimpin Akar Umbi Tiga Sayap Parti

Foto Facebook Dato’ Mohd Azis Bin Jamman

RANAU: Pemimpin-pemimpin tiga sayap Parti Warisan Sabah iaitu Wanita, Wira dan Wirawati berkampung selama dua hari di Kem Bina Negara, Kundasang di sini bagi menjalani kursus pemantapan kemahiran dan meningkatkan keupayaan masing-masing dalam memperjuangkan parti.

Ketua Wira Warisan, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, kursus tersebut penting untuk membentuk satu pasukan yang mantap bagi memikul tugas memberi penerangan tentang dasar-dasar parti dan kerajaan serta berdepan tohmahan daripada pihak pembangkang.

Foto Facebook Dato’ Mohd Azis Bin Jamman

“Di antara fokus utama kursus ini ialah kita ingin memastikan pimpinan sayap kita di peringkat akar umbi bahagian-bahagian memahami aspirasi dan harapan Warisan dalam menterjemahkan apa yang selama ini menjadi harapan rakyat agar dapat diterjemahkan kepada akar umbi kita.

“Pemimpin-pemimpin sayap ini ramai di antara mereka tidak mempunyai pengalaman politik, lahir mereka menyertai Warisan atas dasar kesedaran kerana berjuang untuk mengeluarkan Sabah daripada belenggu cengkaman parti UMNO dan BN sebab itu ramai di antara mereka ini sebenarnya yang tidak berpengalaman,” katanya kepada selepas perasmian Kem Pemantapan Pasukan Majlis Tertinggi ‘Team Building’ Sayap Parti Warisan semalam.

Program tersebut dirasmikan Naib Presiden Warisan, Datuk Jaujan Sambakong. Turut hadir, Ketua Wanita Warisan, Siti Aminah Jabarhan; Ketua Wirawati Warisan, Isnaraissah Munirah Majilis serta pemimpin-pemimpin tiga sayap Warisan dari semua bahagian.

Mohd. Azis berkata, dalam perjuangan politik, pemimpin di akar umbi perlu seiring dengan arahan pimpinan atasan terutama Presiden Warisan, justeru pemimpin akar umbi perlu mendapat latihan khusus.

Gambar Kenangan – foto Facebook Dato’ Mohd Azis Bin Jamman

Katanya, mereka mesti dilengkapi dengan ilmu dan bahan-bahan yang perlu untuk berdepan dengan musuh-musuh politik parti.

“Kita anjurkan selain ingin memberikan pendedahan kepada mereka, pengetahuan yang ingin kita berikan kerana penting pengetahuan ini kerana kita pemimpin kita mahir dan tahu apa bahan yang perlu dibawa dalam menangkis tohmahan fitnah yang dilontarkan oleh musuh-musuh kita.

“Jadi ini di antara pendekatan yang kita buat dalam kursus ini selain daripada ingin menjadikan mereka ini mengenali antara satu sama lain… ice breaking kita terapkan dalam program ini supaya kita mengenali satu sama lain sebab kalau Warisan mahu kuat kita mesti satu pasukan yang senada seirama,” katanya.

BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *