Juragan Bersama Lapan Penumpang Dari Sitangkai, Filipina Ditahan Di Semporna

Pasukan Polis Marin (PPM) menahan seorang juragan bersama lapan penumpang warga Filipina selepas disyaki cuba menyusup masuk secara haram melalui perairan Pulau Sisipan, Semporna semalam. – Foto ihsan Pasukan Polis Marin W4 Sabah

SEMPORNA, 19 Ogos: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan sembilan individu dari Sitangkai, Filipina, yang cuba menyusup masuk secara haram ke negara ini melalui perairan Pulau Sisipan dekat sini, semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, ACP Mohamad Pajeri Ali berkata bertindak atas maklumat Unit Risikan Marin (URM), sebuah perahu dikendalikan seorang lelaki Pala’u yang membawa lapan penumpang terdiri daripada enam lelaki dan dua wanita, kesemuanya warga Filipina, ditahan pada 7 pagi.

Pasukan Polis Marin (PPM) menahan seorang juragan bersama lapan penumpang warga Filipina selepas disyaki cuba menyusup masuk secara haram melalui perairan Pulau Sisipan, Semporna semalam. – Foto ihsan Pasukan Polis Marin W4 Sabah

“Kesemua mereka yang ditahan berumur antara 65 tahun hingga 16 tahun. Siasatan awal mendapati lapan penumpang yang pertama kali masuk ke negara ini mengaku membayar wang 3,000 Peso (RM70) setiap seorang kepada juragan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata pihaknya turut merampas perahu, enjin pam serta beberapa barangan peribadi mereka termasuk wang tunai Peso 1,570 (RM207.20).

“Rampasan dan tangkapan dibuat mengikut Seksyen 26A Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 kerana menjalankan kegiatan penyeludupan migran dan jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 15 tahun atau denda atau kedua-duanya,” katanya.

Beliau berkata  PPM komited membanteras kegiatan penyeludupan manusia di perairan Sabah, di samping melaksanakan tugasan harian menjaga keselamatan masyarakat maritim serta penguatkuasaan undang-undang lain.

BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *