‘Orang Cina Lebih Faham Jika Guna Contoh Pornografi’

Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi. – NSTP/Zain Ahmed

KUALA LUMPUR: Penjelasan mengenai kekeliruan berhubung tulisan Jawi lebih mudah difahami masyarakat Cina jika menggunakan konteks ‘tidak serius’ seperti bahan pornografi.

Ahli Parlimen Kluang, Wong Shu Qi, berkata tidak salah baginya menggunakan contoh sedemikian kerana ia berjaya mengubah persepsi masyarakat Cina yang selama ini menganggap tulisan Jawi hanya untuk agama Islam.

“Dalam beberapa sesi dialog yang saya adakan, ramai hadirin ketawa apabila melihat perbandingan ini dan menerima hakikat bahawa mereka sudah salah faham terhadap tulisan Jawi.

“Saya sengaja gunakan cara lebih menarik, tidak serius. Saya pernah tunjukkan dokumen lama kerajaan menggunakan tulisan Jawi dan bahasa Inggeris, tetapi contoh itu tidak kuat (untuk memberi penjelasan).

“Menerusi kaedah ini, lebih ramai faham apa yang saya sampaikan, sekali gus berjaya memecahkan mitos dan persepsi bahawa Jawi bukan tulisan agama, tetapi tulisan nusantara,” katanya kepada BH, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas video tular menunjukkan Shu Qi mengaitkan tulisan Jawi pernah digunakan bagi menulis buku pornografi suatu ketika dulu, bagi menjelaskan tulisan itu tidak terhad kepada agama Islam semata-mata.

Terdahulu dalam satu kenyataan, Shu Qi berkata, contoh itu digunakan dalam dialog tertutup bersama Persatuan Tiong Hwa Kluang dan wakil 27 persatuan masyarakat Cina di Kluang, Johor pada 9 Ogos lalu, bagi memberi penerangan berhubung isu tulisan Jawi.

Pada sesi itu, beliau menggunakan tiga contoh bagi membuktikan tulisan Jawi tidak khusus kepada Islam iaitu ia pernah digunakan dalam kitab lama agama Kristian pada abad ke-19 dan penggunaan Jawi dalam pelbagai bahan bacaan termasuk pornografi sebelum 1956.

Selain itu, beliau turut menjelaskan dalam sesi dialog itu hampir tiada pihak yang menganggap kaligrafi Cina hanya khusus untuk agama Buddha walaupun ia banyak digunakan dalam manuskrip agama itu.

Bagaimanapun, beliau mendakwa ucapannya dirakam tanpa kebenaran seorang pemimpin MCA yang turut hadir dan dimuat naik ke akaun media sosial Naib Pengerusi Pemuda MCA Kluang, Joan Ng, sebelum sebahagian rakaman itu disebarkan tentera siber UMNO.

Ditanya jika ada persatuan yang hadir sesi dialog itu mengubah pendirian dan bersetuju dengan pelaksanaan tulisan Jawi dan khat di sekolah, Shu Qi berkata, belum ada yang mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara itu.

“Selepas sesi dialog, mereka mengadakan mesyuarat dan membuat satu keputusan akan keluarkan kenyataan mengenainya. Saya tidak tahu apa keputusan itu kerana saya tiada dalam mesyuarat.

“Setakat ini, saya belum dapat kenyataan itu, tetapi dimaklumkan mereka akan serahkannya menerusi satu memorandum kepada saya, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di sini, Menteri Pendidikan dan Timbalan Menteri Pendidikan,” katanya.

Ditanya sama ada beliau mahu memohon maaf kerana menggunakan contoh dilihat tidak sensitif kepada orang Melayu, Shu Qi berkata, penggunaan Jawi dalam bahan lucah adalah fakta tidak boleh dinafikan.

“Pada yang tersinggung, tak apalah. Ini fakta, kita tak boleh nafikan. Bahasa Mandarin juga ada digunakan dalam novel lucah.

“Terpulanglah pada netizen dan orang ramai mahu kritik saya. Yang penting, setiap kaum di Malaysia perlu ada keyakinan terhadap kebudayaan sendiri,” katanya.

Berita Harian