Sabah Berpotensi Jadi Negeri Pertama Guna Biodiesel B20

Menteri Industri Utama, Teresa Kok bergambar selepas memberikan Sesi Taklimat MSPO dan Dialog Bersama Komuniti Penanam Sawit Sabah di Tawau.

TAWAU: Sabah berpotensi menjadi negeri pertama menggunakan biodiesel B20 sebagai pelan alternatif membantu menstabilkan harga komoditi itu.

Menteri Industri Utama, Teresa Kok, berkata penggunaan biodiesel B20 akan memberi impak positif terhadap industri sawit negara melalui pengurangan stok minyak sawit, seterusnya menstabilkan harga minyak sawit.

Katanya, Sabah berpotensi menjadi perintis dalam merealisasikan usaha itu berikutan pengguna dan pemilik kenderaan di negeri ini kebanyakannya menggunakan kenderaan berenjin diesel.

“Sebab itu, apabila isu peningkatan kadar adunan biodiesel kepada B20 dibangkitkan, kita bercadang mengadakan perbincangan bersama syarikat penapisan dan pemprosesan minyak sawit agar mula menggunakan B20.

“Jika ini dapat dilaksanakan di Sabah, kita akan menggunakan lebih banyak minyak sawit, sekali gus dapat menaikkan harganya di pasaran,” katanya selepas merasmikan Sesi Taklimat Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dan Dialog Bersama Komuniti Penanam Sawit Sabah, di sini hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC), Chew Jit Seng dan Pengarah Bahagian Ekonomi dan Pembangunan Industri Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), N Balu.

Mengulas mengenai kadar peratusan rendah dalam kalangan pekebun kecil yang belum mendapatkan MSPO, Teresa berkata, isu syarat dan pemilikan tanah antara faktor utama menyebabkan mereka gagal berbuat demikian.

Justeru, katanya, siri jelajah dan taklimat yang dijalankan kementeriannya antara lain bertujuan menyampaikan mesej berkenaan kepada pemain industri sawit di Sabah.

“Ada dua Kelompok Minyak Sawit Mampan (SPOC) iaitu Tawau dan Kalabakan membabitkan seramai 1,371 pekebun kecil, dengan 51 daripadanya atau hanya 3.7 peratus sudah memperolehi persijilan MSPO derngan keluasan 348.69 hektar.

“Di Kalabakan pula, seramai 311 atau 17.1 perstus daripada 1,819 pekebun kecil, dengan keluasan 1600.97 hektar sudah memperolehi persijilkan MSPO. Kerajaan sudah melanjutkan tarikh permohonan intensif MSPO dari 30 Jun lalu ke 31 Disember ini kepada semua pengusaha sawit untuk mendapatkan pensijilan itu,” katanya.

Berita Harian

47