
SANDAKAN: Ibu tunggal lima anak yang hidup serba daif di sebuah pondok usang di Kampung TB Ward, di sini, berharap ada pihak tampil membantu membina rumah untuk keluarganya.
Rosinah Hussin, 35, berkata hingga kini dia dan anaknya tinggal di pondok yang didirikan sekumpulan remaja dari Madrasah Darus Sunnah sebelum ini.

Katanya, keadaan rumah yang terlalu usang dan serba kekurangan itu membuatkannya buntu serta mengharapkan ihsan orang ramai untuk membantu.
“Selama ini, kami tinggal di sini dalam keadaan serba kekurangan. Kami tiada elektrik dan sumber air yang tetap.
“Rumah kami juga tidak mempunyai tandas selepas roboh satu ketika dulu. Saya tidak mampu beli peralatan dan upah tukang untuk membaikinya,” katanya ketika ditemui di pondoknya, semalam.
Rosinah berkata, dia berharap ada pihak sudi membantu untuk keselesaan dan keselamatan anaknya.

Harian Metro