985 Bekas Ahli UMNO Tuaran Sertai PKR

Christina (tengah) menerima borang pendaftaran keahlian baharu PKR cabang Tuaran. – Gambar PKR Sabah


TUARAN: Seramai 985 bekas ahli Umno bahagian Tuaran secara rasmi menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ketua Umum PKR Negeri Datuk Christina Liew menerima borang pendaftaran keahlian dari Ketua Cabang PKR Tuaran, Dausil Kundayong dan pengerusi penganjur, Abdul Ali Madtair pada majlis penyerahan dan penubuhan cawangan PKR di Kampung Kindu hari ini.

Christina (duduk di tengah) bersama pemimpin parti dan 28 ketua cawangan PKR Tuaran. – Gambar Ihsan PKR Sabah

Sambil mengalu-alukan kehadiran ahli baharu PKR itu, Christina berkata penubuhan lebih banyak cabang parti dilihat menjadi salah satu cara untuk menambah keahlian PKR di Tuaran.

“Hakikat bahawa mereka memilih PKR dan menyokong perjuangan parti adalah petunjuk jelas bahawa PKR masih kukuh dan relevan di negara ini.

“Ia juga membuktikan kepercayaan rakyat untuk kita terus memimpin negara dan menjaga hak dan kepentingan rakyat,” katanya.

Majlis itu turut dihadiri ialah Setiausaha Politik kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Romli Ishak dan Timbalan Ketua Cawangan PKR Tuaran, Chrisnadia Sinam.

Sehubungan itu Christina yang juga Timbalan Ketua Menteri menggesa kepimpinan PKR Tuaran untuk menerima prinsip keikhlasan, amanah dan mengamalkan konsep keterbukaan dan toleransi dalam menjalankan tanggungjawab mereka.

Sementara itu, Romli berkata Timbalan Perdana Menteri Datuk Dr Wan Azizah Wan Ismail memuji kepimpinan Christina dalam mengetuai Majlis Pimpinan Negeri PKR (MPN) Sabah.

Katanya langkah menandatangani ikrar kesetiaan dan sokongan penuh untuk Presiden Parti Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah contoh terbaik yang dilakukan Christina bagi pihak PKR Sabah.

SabahNewsToday

24