Cantiknya Cikgu Jessica…

“Cikgu asal mana? Cikgu ada campuran Cina atau orang putih? Orang Sarawak memang cantik macam cikgu ke?.

Itu antara persoalan mencuit hati yang kerap ditanya pelajarnya sebaik cikgu cantik ini melapor diri untuk menjalani latihan praktikum di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) LKTP Tersang, Raub, Pahang, Julai lalu.

Jessica Robert Stephen, 23. – Foto Ihsan Jessica

Jessica Robert Stephen, 23, dari suku Lun Bawang berasal dari Miri, Sarawak menganggap pertanyaan itu sebagai permulaan untuk memperkenalkan mengenai kaum minoritinya yang menghuni pedalaman Sarawak.

Suku Lun Bawang tinggal di kawasan pedalaman iaitu ‘Lun’ bermaksud orang, manakala ‘Bawang’ membawa pengertian ulu sebelum timbul istilah Lun Bawang bererti Orang Ulu.

Anak sulung daripada lima beradik itu berkata, ada juga pelajarnya yang turut mengaitkan ‘Lun Bawang’ sama seperti ‘membawang’.

“Pelbagai reaksi saya terima apabila saya memberitahu saya suku Lun Bawang, tapi saya tidak marah kerana memang ramai tidak mengetahui mengenai kaum saya.

“Suku Lun Bawang ini pada suatu ketika dulu menetap di kawasan pedalaman di tanah tinggi di pertengahan Pulau Borneo atau di ulu sungai dan wujud di Sarawak, Brunei, Kalimantan Utara dan Sabah.

“Malah, kami adalah kaum minoriti di Sarawak. Daripada kira-kira 27 atau lebih suku kaum di Sarawak, hanya 5.4 peratus daripadanya ialah suku kaum Orang Ulu,” katanya.

Jessica bersama pelajarnya. Foto Ihsan Jessica

Penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjung Malim, Perak itu berkata, terdapat beberapa suku kaum yang sinonim dengan Lun Bawang iaitu Lun Dayeh iaitu masyarakat Lun Bawang yang boleh ditemui di Sabah, manakala di Sarawak pula di sekitar bahagian Lawas, Limbang, Trusan, Kalimantan dan kawasan pedalaman Borneo.

Menceritakan reaksi pelajarnya sebaik mengetahui suku Lun Bawang, Jessica mengakui pada mulanya mereka memang terkejut sangat sebab pertama kali dengar nama pelik berkenaan.

“Lun Bawang tu mereka kata membawang pula, lepas mereka tahu dan seperti tertarik untuk mengetahui mengenai kaum Lun Bawang sebagai perkara yang baru.

“Pengalaman pertama menjalani latihan praktikum di sekolah ini akan menjadi pengalaman berharga. Ketika pertama kali menjejak kaki di Felda Tersang, saya disambut baik oleh guru serta masyarakat sekeliling walaupun pada mulanya, saya memang berasa risau adakah saya dapat diterima oleh masyarakat di sini sebagai seorang guru.

“Syukur juga pelajar dapat menerima kedatangan saya sebagai seorang guru walaupun di sekolah itu, saya seorang saja guru yang bukan Muslim,” katanya.

Jessica berkata, dia yang mengambil jurusan Pengajian Malaysia dengan Pendidikan di UPSI memilih untuk menjadi guru kerana minat untuk menjadi pendidik sejak di bangku sekolah lagi.

“Saya tiada sebab yang kukuh mengapa saya memilih untuk menjadi guru pada mulanya. Tetapi kos yang saya pilih iaitu Pengajian Malaysia dengan Pendidikan memerlukan saya membina diri sebagai seorang pendidik kerana jika di alam persekolahan, ‘major’ saya ialah Pengajian Am.

“Tetapi selepas hampir tiga tahun menimba ilmu di UPSI, makin banyak perkara yang saya belajar menjadi seorang yang mampu mendidik pelajar di sekolah terutamanya diri sendiri kerana saya sendiri pun masih dalam proses belajar,” katanya.

Ditanya bagaimana dia boleh menjalani praktikum di Raub, Jessica berkata, Jabatan Pengajian Malaysia dengan Pendidikan hanya membenarkan tiga kawasan untuk dipilih praktikum iaitu Selangor, Kuala Lumpur dan Pahang.

“Kemudian saya dan rakan berasal dari Kelantan memilih untuk duduk di kawasan FELDA memandangkan kami ingin mengambil pengalaman tinggal di kawasan baru sebelum memilih SMK LKTP Tersang,” katanya.

Menurutnya, harapan utamanya untuk berkhidmat di tempat sendiri tetapi bagus juga jika dapat berkhidmat di tempat lain untuk menimba pengalaman baru.

Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *