Tular Nama Anak Ozil

Anwar bersama anak sulungnya (kiri) dan surat beranak anaknya (kanan) yang disunting nama sama dengan Mesut Ozil. Foto Ihsan Anwar Mohd Sharif

“Itu bukan nama sebenar anak saya tetapi disunting dan dimuat naik di Facebook untuk suka-suka saja tanpa ada niat mencari perhatian,” kata Anwar Mohd Sharif, 25.

Anwar dari Beaufort, Sabah menjelaskan mengenai nama anaknya yang mencuri perhatian warganet kerana mempunyai persamaan dengan bintang bola sepak Arsenal iaitu Mesut Ozil.

Ia berikutan tindakan Anwar memuat naik gambar surat beranak anaknya yang tertulis nama Noor Auliya Mikayla Lanesra Ozil.

Sehingga kini, hantaran Anwar di Facebook miliknya itu mendapat lebih 300 tanda suka dan dikongsi 97 warganet.

Menceritakan perkara sebenar, Anwar mengakui dirinya adalah penyokong tegar Arsenal sejak 2007 dan Ozil salah seorang pemain bola sepak kegemarannya.

Katanya, disebabkan itu, dia menyunting nama anaknya dan tidak sangka perkongsian gambar surat beranak yang sudah disunting tular selepas dimuat naik di laman sosial miliknya petang semalam.

“Saya dan isteri berkahwin Disember lalu dan Noor Auliya Mikayla adalah anak sulung kali yang lahir awal pada 24 Julai lalu iaitu lebih daripada tarikh sepatutnya.

“Saya teruja dengan kelahirannya hingga menyunting nama di dalam gambar surat beranak dengan menambah perkataan Arsenal dengan ejaan terbaik dan Ozil di bahagian belakang.

“Gambar surat beranak selepas disunting itu kemudian dimuat naik di Facebook dan terkejut apabila perkongsian itu mendapat banyak notifikasi dalam beberapa jam kemudian,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Anwar berkata, bukan niatnya untuk meraih publisiti dan dia memohon maaf jika ada warganet tidak senang dengan tindakannya itu.

Menurut Anwar, dia juga sudah menjelaskan perkara sebenar di laman sosial miliknya supaya warganet tidak keliru atau membuat pelbagai andaian dengan perkongsiannya itu.

“Sebenarnya, saya memang bercadang memberi nama itu kepada anak tetapi isteri tidak bersetuju kerana terlalu panjang.

“Jadi saya batalkan hasrat itu kerana memikirkan ada benarnya apa yang diperkatakan isteri.

“Apapun, saya mohon maaf kepada mereka yang tidak senang dengan tindakan itu kerana bukan niat saya untuk mempermainkan nama anak,” katanya.

Harian Metro

15