Koperasi Diketuai Pimpinan Parti BERSATU Bersama Isteri Didakwa Tipu Umrah

KOTA KINABALU: Koperasi Pembangunan Usaha Sama Masyarakat Sabah Maju Berhad (Kop-Pusamaju) yang diketuai pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Putatan sebagai penasihat serta isteri beliau yang turut memegang jawatan kanan koperasi didakwa menawarkan pakej umrah palsu bernilai RM2,990 setiap seorang terhadap 319 mangsa.

Berikutan penipuan tersebut, kebanyakkan mangsa telah membuat laporan polis di Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dan IPD Kota Kinabalu bagi memohon pihak berkuasa menyiasat perkara berkenaan.

Salah seorang mangsa yang ditemui mendakwa, melalui pakej yang ditawarkan, kesemua peserta sepatutnya terbang ke Tanah Haram pada 23 Mac lalu, namun tidak pernah menjadi kenyataan.

“Pada mulanya kami ditawarkan pakej bernilai RM2,500 untuk penerbangan dari Kuala Lumpur ke Mekah dan tambahan RM490 untuk penerbangan dari Kota Kinabalu ke Kuala Lumpur.

“Disebabkan yakin dengan koperasi tersebut, saya sendiri dan beberapa rakan telah membuat dua kali transaksi bayaran di kaunter pejabat koperasi di Putatan sehingga cukup jumlah RM2,990 tanpa mengesyaki apa-apa,” katanya yang merupakan kakitangan sebuah agensi kerajaan.

Sumber tersebut yang enggan namanya didedahkan berkata, selepas membuat bayaran, kesemua mangsa dijanjikan penerbangan ke Tanah Haram pada 23 Mac menyebabkan sebahagian mereka telah mengadakan kenduri kesyukuran di rumah masing-masing.

Bagaimanapun dakwanya, amat mengejutkan apabila pada petang 22 Mac, pihak koperasi melalui aplikasi WhatsApp memaklumkan kepada semua peserta bahawa tarikh penerbangan ditunda pada 27 Mac sehingga ada kumpulan dari Keningau yang telah berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) terpaksa patah balik.

“Sejak itu maka bermulalah siri penangguhan penerbangan oleh pihak koperasi iaitu pada 30 Mac, 2 April, 7 April dan yang terakhir kononnya pada 27 April tetapi tiada yang tepat,” kata sumber itu.

Menurut sumber itu, pada 1 April lalu, satu pertemuan pernah dilakukan di rumah pemimpin Bersatu itu di Putatan sebagai persediaan kononnya penerbangan yang dijadualkan keesokan hari akan menjadi kenyataan tetapi akhirnya tetap tidak berlaku.

Dakwa sumber itu, selepas berasa tertipu, kesemua peserta berkenaan telah menuntut supaya wang mereka dikembalikan, namun sehingga hari ini hanya beberapa individu sahaja yang telah dibayar balik manakala selebihnya masih belum menerima duit tersebut.

“Lebih malang ada sebahagian daripada kami bukan sahaja tidak dibayar balik malah pasport mereka juga masih disimpan oleh pihak koperasi tanpa dikembalikan sehingga menimbulkan pelbagai persoalan.

“Kami cuma mahu supaya hak kami dipulangkan, permintaan kami untuk berjumpa dengan pemimpin itu dan isterinya tidak pernah ditunaikan sebaliknya setiap kali kami hanya dapat berurusan dengan orang suruhan mereka,” katanya.

Tambah sumber berkenaan, salah seorang daripada mangsa juga telah membuat laporan polis kerana menerima ugutan yang dipercayai daripada pihak koperasi agar jangan menghebohkan perkara itu jika tidak keselamatannya terancam.

“Apa salah kami sampai menerima ugutan begitu. Jumlah wang itu terlalu besar bagi sebilangan peserta terutama ibu-ibu tunggal yang telah memasang hajat pergi ke Mekah tetapi tidak tertunai,” tambahnya.

BorneoToday