Tambadau Sabah Terima Piala Juara Liga Premier Di Stadium Likas Sabtu Ini

Pemangku presiden SAFA Datuk Peter Anthony merakamkan gambar bersama pemain dan pengurusan pasukan bola sepak Sabah sewaktu menyambut ketibaan skuad Tambadau di Bilik Kenamaan Terminal 1, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (LTAKK)

KOTA KINABALU: Tambadau Sabah akan menerima Piala Juara Liga Premier pada Sabtu ini di Stadium Likas.

Pemangku Presiden Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) Datuk Peter Anthony berkata turut dijangka hadir pada 13 Julai ialah Yang DiPertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin bersama isteri Toh Puan Norlidah R.M Jasni dan juga Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Pada hari Sabtu nanti, Tambadau terlebih dahulu akan bertemu dengan Kelantan iaitu perlawanan kedua terakhir sebelum Liga Premier musim 2019 melabuhkan tirai.

Peter turut berharap para penyokong Sabah akan datang beramai-ramai menyaksikan hari bersejarah yang hanya datang selepas 23 tahun.

Kali pertama Sabah menang kejuaraan Liga Perdana ialah pada tahun 1996. Pada ketika itu, Liga Perdana merupakan liga bola sepak negara yang unggul

Sementara itu ditanya imbuhan yang akan diberi Kerajaan Negeri kepada para pemain, Peter menjelaskan kejayaan pasukan bola sepak Sabah itu telah beliau kemukakan semasa mesyuarat jemaah menteri Sabah dan telah dibincangkan hari ini.

“Walaubagaimanapun saya serahkan kepada YAB Ketua Menteri untuk membuat pengumuman pada malam itu nanti.

“Saya pasti akan ada kejutan bagi para pemain dan pihak pengurusan pada malam itu nanti,” tambah beliau ketika ditemui selepas menyambut kepulangan pasukan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu petang tadi.

Lebih kurang 100 orang penyokong Sabah turut berada di lapangan terbang menyambut pasukan Tambadau yang dinobatkan awal sebagai juara Liga Premier atau Perdana musim ini selepas mengalahkan UiTM FC di Shah Alam semalam.

Turut bersama Peter ialah Menteri Sukan dan Belia, Ginger Phoong.

Peter turut merakamkan penghargaan kepada para pemain dan pengurusan pasukan yang telah berusaha untuk mencapai sasaran utama iaitu untuk mara ke Liga Super.

“Kejayaan ini juga adalah kejayaan seluruh rakyat Sabah terutama peminat sukan bola sepak yang telah berhempas pulas memberi sokongan kepada pasukan,” katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri atas tunjuk ajar yang diberi kepadanya dalam memimpin Safa serta pasukan Tambadau.

Semasa ditemui selepas perlawanan dengan UiTM FC dimenangi Sabah 2-1 di Shah Alam semalam, Peter berkata walaupun Sabah bermula dengan ‘lambat’ dalam saingan liga musim ini namun berkat kerjasama semua pihak termasuklah pengurusan, pegawai, barisan jurulatih, para pemain dan juga penyokong telah merealisasikan impian ini.

“Saya juga sangat gembira kerana kita bukan saja mencapai matlamat utama pada musim ini iaitu layak ke Liga Super, musim depan, tetapi juga berjaya menjadi juara,” katanya.

Sementara itu, Peter berkata, beliau akan memastikan pasukan itu bersiap sedia sepenuhnya bagi menghadapi saingan Liga Super termasuklah dari segi perbelanjaan.

“Kami akan berusaha untuk mencari penaja dan mempersiapkan pasukan sebaik mungkin kerana kita sedar saingan Liga Super sangat mencabar.

Menurutnya, dengan persembahan Sabah yang begitu baik sekarang tidak sukar untuk mencari penaja bagi pasukan itu di Liga Super nanti.

Peter juga berkata fokus sekarang ialah Piala Malaysia dimana sasaran sekurang-kurangnya layak ke separuh akhir.

SabahNewsToday