Menjuarai Liga Perdana Musim Ini Lebih Manis Berbanding 1996 – Jelius Ating

Ketua Jurulatih Sabah, Jelius Tabias Ating dijulang pemain Sabah selepas muncul juara Liga Perdana 2019.

Pengendali Sabah, Jelius Ating mengakui kejayaan menjuarai Liga Perdana musim ini lebih manis berbanding ketika dia menjulang piala itu sebagai pemain pada tahun 1996.

Apa yang lebih mengujakan Jelius adalah kejayaannya menamatkan penantian 23 tahun rakyat Sabah untuk melihat Piala Liga Perdana kembali ke negeri itu.

“Kejayaan menjulang piala adalah bukti kualiti kepada seorang pemain, bukannya berapa lama (dia bermain) atau berapa besar pendapatan yang mereka dapat, tapi ia dilihat terhadap kejayaan yang mereka sumbang kepada pasukan,” kata Jelius.

“Jadi, 23 tahun yang lalu saya menjuarai liga sebagai pemain dan hari ini saya juarai liga sebagai jurulatih. Ini satu kejayaan yang sangat bermakna bagi saya dengan mencapai kejayaan dalam situasi berbeza sebagai pemain dan jurulatih.”

Sabah dinobatkan sebagai juara Liga Perdana selepas berjaya menundukkan UiTM FC 2-1 di Stadium UiTM Shah Alam, malam tadi.

Selain itu, Jelius turut mendedahkan bahawa peranan pengurusan Persatuan Bolasepak Sabah (SAFA) dalam menjaga kebajikan pasukan serta sikap barisan kejurulatihan yang berlaku adil terhadap semua pemain menjadi rahsia kepada kejayaan Sabah.

“Terima kasih kepada Datuk Peter Anthony (Pemangku Presiden SAFA) kerana walaupun dia datang dalam keadaan yang sedikit kucar-kacir, tapi dia sanggup menyokong kami.

“Jadi hari ini, kami hadiahkan kejayaan ini kepada pengurusan, pasukan dan rakyat Sabah. Sudah sekian lama kami tidak mencapai kejayaan, sudah 23 tahun piala ini tidak menyeberangi lautan ke Sabah,” katanya.

Berita Harian