Shafie Yakin 13 Kerusi Tambahan DUN Sabah Lulus

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri yakin tambahan 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah yang dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat pada 17 Julai ini mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk diluluskan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata pihaknya yakin tiada halangan untuk mendapatkan kelulusan Parlimen memandangkan ia hanya memerlukan majoriti mudah dan bukan dua pertiga kerana tidak membabitkan pindaan Perlembagaan.

“Kerusi tambahan itu sudah diluluskan DUN Sabah ketika ia dibentangkan oleh kerajaan negeri sebelum ini, jadi tiada sebab ia tidak mendapat sokongan untuk membolehkan kita menambah perwakilan di DUN.

“Saya sendiri akan berada di Parlimen pada 16 dan 17 Julai ini dan ikut membahas untuk menyatakan apa sebabnya ia (kerusi tambahan DUN Sabah) perlu disokong,” katanya kepada media selepas merasmikan Pameran dan Persidangan Persidangan dan Pameran Minyak dan Gas Sabah (SOGCE) Ketujuh, di sini, hari ini.

Mohd Shafie berkata, kerusi tambahan itu hanya memerlukan kelulusan Dewan Rakyat sebelum dapat dilaksanakan.

Berdasarkan persempadanan baharu itu, 13 kerusi tambahan yang dicadangkan ialah Bengkoka, Mangaris, Pintasan, Pantai Dalit, Darau, Tanjung Dumpil, Dambai, Tulid, Telupid, Sungai Manila, Lamag, Segama dan Kukusan.

Kerusi tambahan berkenaan diluluskan ketika persidangan DUN Sabah pada 9 Ogos 2016 menerusi pindaan Rang Undang-Undang Perlembagaan Negeri Sabah iaitu meminda Perkara 14 Fasal (2) Perlembagaan Negeri Sabah bagi menambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kepada 73, berbanding 60 ketika ini.

Pindaan rang undang-undang itu disokong 55 ADUN, termasuk lima wakil rakyat pembangkang dan empat BEBAS, manakala tiga wakil pembangkang tidak bersetuju serta seorang berkecuali, selain seorang ADUN tidak hadir.

Bagaimanapun, kerusi tambahan itu tidak dapat digunakan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) tahun lalu kerana tidak dibentangkan oleh kerajaan sebelum ini di Dewan Rakyat bagi mendapatkan sokongan majoriti Ahli Parlimen.

Kelmarin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong mengumumkan kerajaan akan membentangkan Perintah Perlembagaan Persekutuan (Persempadanan Bahagian-Bahagian Pilihan Raya) berserta Laporan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di Dewan Rakyat bagi menambah 13 kerusi DUN Sabah pada 17 Julai ini.

Katanya, draf pembentangan berkenaan sudah tersedia sejak Ogos 2016, namun tidak pernah dibentang oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) pimpinan Datuk Seri Najib Razak sebelum ini.

Vui Keong berkata, pada 26 Jun 2018, SPR menyerahkan semula laporan persempadanan baharu itu kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum bersetuju untuk membentangkannya di Dewan Rakyat.

Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *