Datuk Peter Anthony Arkitek Kejayaan Sabah

Dua puluh tiga tahun itulah masa yang dinanti-nantikan oleh peminat bola sepak Sabah untuk melihat kebangkitan dan kejayaan yang dicipta oleh pasukan kesayangan mereka selaku juara Liga Perdana 2019. 

Kali terakhir pasukan Sabah berjaya mencipta kejuaraan dan mengangkat martabat bola sepak Sabah sehingga dihormati dalam arena bola sepak profesional negara ialah pada tahun 1996 di bawah kendalian jurulatih dari Australia, Ron Smith, apabila berjaya menjulang trofi Liga Perdana.

Namun, selepas itu pasukan Sabah terus merudum dan gagal untuk mengekalkan reputasinya sebagai pasukan pilihan dalam bola sepak Malaysia.

Tetapi itu tidak mematahkan semangat pengurusan Persatuan Bolasepak Negeri Sabah (SAFA), terutama kepada pemangku Presiden SAFA, Datuk Peter Anthony, ketika ini untuk terus bekerja bersama ketua jurulatih, Jelius Ating.

Dan akhirnya hasil usaha mereka terbalas apabila disahkan menjuarai Liga Perdana 2019 setelah menewaskan UiTM FC 2-1 di gelanggang lawan semalam selain kembali ke Liga Super pada 2020.

Gambar Facebook Datuk Peter Anthony

Peter merupakan arkitek penting dalam kejayaan Sabah kali ini.

Beliau telah berusaha sedaya-upaya untuk menjaga kebajikan dan keharmonian dalam pasukan Sabah ini supaya ia dapat memberi perangsang dan motivasi kepada pemain-pemain untuk terus kekal fokus dalam memburu kejayaan.

Inilah inti pati kejayaan pasukan Sabah di mana semangat berpasukan itu telah dipupuk untuk memastikan pemain-pemain berjuang demi lencana di dada.

Ini diakui sendiri oleh ketua jurulatih Sabah, Jelius, yang tahu tahap kemampuan pemain-pemainnya untuk bersaing dalam saingan Liga Perdana.

Gambar Facebook Datuk Peter Anthony

Kegembiraan itu bukan sahaja disambut oleh Peter dan Jelius tetapi juga bekas-bekas pemain Sabah yang kini berkhidmat bersama SAFA seperti Henry Soimpon sebagai pengurus pasukan dan Andrew W. Majanggim sebagai setiausaha agung SAFA, kerana dengan pengalaman mereka itu dapat dibawa bersama-sama dalam memberi keyakinan kepada pemain-pemain Sabah.

Tahniah sekali lagi kepada pasukan Tambadau yang berjaya mengembalikan kegemilangan bola sepak Sabah dalam saingan bola sepak Malaysia.

Stadium Astro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *