BELURAN: Akibat fobia melihat seekor lipan, sepasukan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran terpaksa dikejarkan ke sebuah premis perniagaan, di pekan daerah ini bagi menangkap haiwan berkenaan, semalam.
Kejadian berpunca apabila seorang gadis berusia 20 tahun yang panik selepas menyedari kehadiran haiwan berkenaan, terus menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada jam 2.22 petang.
Katanya, bertindak atas laporan itu, sepasukan lapan anggota bersama sebuah jentera dikerahkan ke lokasi kejadian untuk membantu.
“Setibanya di lokasi kejadian, lipan berkenaan didapati sudah mati akibat dihempap kotak yang dibaling sendiri oleh gadis terbabit.
“Bagaimanapun, gadis yang trauma itu masih duduk di atas meja kaunter sehingga terpaksa ditenangkan anggota bomba,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, pihak bomba sentiasa mengikut segala prosedur ditetapkan dan akan memberi maklum balas kepada setiap laporan yang diterima.
“Kes seperti ini juga adalah sebahagian kejadian yang tidak boleh dielakkan dan sudah menjadi lumrah tugasan bomba,” katanya.
Sementara itu, kejadian berkenaan yang dikongsikan di laman Facebook (FB) JBPM Beluran turut mendapat pelbagai reaksi termasuk ramai yang memuji tindakan pasukan bomba.
Seorang pembaca yang memberi komen berkata, gadis berkenaan adalah adiknya dan mendakwa dia ememangnya fobia dengan haiwan berkenaan.
“Bagi pihak pemanggil, saya minta maaf admin… saya kakaknya… masa tu dia sendiri di gerai… dia memang kalau nampak lipan macam nampak raksasa tu,” katanya dalam ruangan hantaran komen FB.
Komen itu kemudiannya mendapat respon daripada admin laman berkenaan yang berkata, JBPM komited dalam memberikan perkhidmatan terbaik untuk masyarakat tanpa mengira kes kecil atau besar.