Menteri Terima Surat Dari Istana Selepas Tiru Pakaian Tradisi Diraja Johor

Salahuddin Ayub (depan, 2 dari kiri) berbaju Melayu dan berseluar hitam bersama Anwar Ibrahim (dari kiri), Dr Mahathir Mohamad dan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad di Masjid Negara pada 5 Jun lalu. (Gambar Instagram)

PETALING JAYA: Istana Johor bertindak menghantar surat mengenai cara pemakaian keluarga diraja negeri itu kepada seorang menteri, selepas gambar beliau berbaju Melayu dan berseluar hitam tersebar di media sosial baru-baru ini.

Jemaah Majlis Diraja Johor menghantar sepucuk surat bertarikh 9 Jun kepada Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Salahuddin Ayub.

Sumber dekat dengan menteri itu hari ini mengesahkan surat itu diterima pada 20 Jun lalu.

“Jemaah Majlis Diraja berharap Datuk sebagai anak Johor, mengambil perhatian kepada peraturan tersebut, seterusnya memelihara dan memartabatkan budaya Johor,” demikian menurut surat ditandatangani Yang Dipertua Jemaah Majlis Diraja Johor, Abdul Rahim Ramli.

Pada 5 Jun lalu, Tunku Mahkota Johor melalui Instagramnya memuat naik gambar Salahuddin berbaju Melayu dan berseluar hitam ketika bersama Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negara.

Menerusi catatan berbeza pada hari sama, Tunku Ismail Sultan Ibrahim memuat naik gambarnya bersama adik-beradik dan Sultan Johor berbaju Melayu serta berseluar hitam.

Katanya, seluar hitam dipadankan baju Melayu Teluk Belanga ialah pakaian tradisi keluarga diraja Johor.

“Ini adalah pakaian tradisi keluarga diraja Johor. Identiti ini melambangkan keluarga Sultan Ibrahim dan kerabat damping. Keluarga yang memerintah. Darah keturunan sultan.

“Itu fasal kita boleh lihat tiada orang dalam kerajaan pakai seluar hitam kerana hanya keluarga diraja atau kerabat damping yang boleh pakai atau layak pakai seluar hitam.”

Pada 8 Jun lalu, media melaporkan seorang individu diminta menanggalkan sampingnya di depan istana Johor kerana pemakaian baju Melayu berserta samping dan seluar hitam ialah pakaian tradisi kerabat diraja negeri itu. – FMT

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *