PPBM Yakin Tambah Lebih 200 Ribu Keahlian Baharu Di Sabah

Tuaran: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yakin akan dapat menambah lebih 200,000 keahlian menjelang tahun depan.

Pengerusi Bersatu Sabah Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, ia berikutan ramai rakyat Sabah yang memohon untuk menjadi ahli parti itu, termasuk para belia, badan bukan kerajaan (NGO) dan golongan profesional, di mana mereka tidak pernah melibatkan diri dalam parti politik sebelum ini.

Hajiji (duduk, empat dari kiri), Musa (duduk, tengah), Pairin (duduk, empat dari kanan) dan Masidi (duduk, tiga dari kanan) bersama sebahagian wakil rakyat Bersatu dan penyokong parti.

“Ada juga dari Umno dan parti lain di negeri ini. Hampir setiap hari kita menerima permohonan daripada rakyat terutama sekali yang meninggalkan Umno… responnya amat baik,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa mengadakan majlis rumah terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediamannya di Sulaman, di sini pada Khamis.

Hajiji berkata, Bersatu Sabah kini mempunyai 120,000 keahlian berdafftar dan jumlah itu akan meningkat kira-kira 320,000 menjelang tahun depan.

“Kita telah menerima borang keahlian baharu lebih kurang 100,000 sekarang dan kita dalam proses untuk mendaftar mereka yang mahu menyertai Bersatu.

“Proses pendaftaran ini masih berjalan dan saya dimaklumkan mengikut laporan daripada ibu pejabat, hampir 80,000 permohonan telah dimasukkan dalam sistem pendaftaran keahlian.

“Bersatu Tuaran juga merupakan satu bahagian yang mantap dan kekuatannya cukup baik,” katanya.

Hajiji berkata, Bersatu Sabah kemungkinan akan mengadakan mesyuarat perwakilan pada tahun ini.

“Sekarang ini seluruh bahagian Bersatu Sabah sedang memantapkan kekuatan parti masing-masing dengan mendaftar keahlian selain mengadakan program politik dan sebagainya,” katanya.

Ditanya mengenai kedudukan Ahli Parlimen Sipitang Yamani Hafez Musa dalam Bersatu, Hajiji berkata dia sudah menjadi ahli parti itu sejak Januari tahun ini dan sudah mempunyai kad keahlian parti.

“Dia (Hafez) menyertai Bersatu lebih awal daripada kami. Saya menyertai Bersatu pada Mac tahun ini,” katanya dan menambah, Hafez kini adalah timbalan ketua bahagian Bersatu Sipitang.

Mengenai terdapat kumpulan yang mendakwa sebagai bekas pemimpin dan ahli Bersatu Sabah telah bertindak keluar meninggalkan parti itu, Hajiji berkata, “Saya tidak tahu dan tidak mengenali mereka.”

“Kami dalam Umno keluar menjadi wakil rakyat bebas. Kami tidak terus menyertai Bersatu. Kami memenuhi syarat yang ditetapkan parti untuk menjadi wakil rakyat bebas kemudian barulah menyertai Bersatu,” katanya.

Sementara itu, Hajiji yang juga Adun Sulaman berkata, kehadiran mantan Ketua Menteri Tan Sri Musa Haji Aman adalah sebagai sahabat.

“Kita kekalkan perhubungan sahabat, lebih-lebih lagi dulu sama-sama dalam politik dan menganggap beliau sebagai bos.

“Suasana Hari Raya seperti ini kita tidak memilih sesiapa. Kita akan layan dan hormati pengunjung kita terutama sekali pemimpin kita yang telah banyak berjasa kepada negeri dan sebagainya.

“Musa juga telah maklumkan kepada saya tadi bahawa dia akan menghadiri rumah terbuka Hari Raya Umno Tuaran yang akan diadakan Sabtu ini,” katanya.

Hajiji berkata, rumah terbuka Hari Raya yang diadakannya adalah untuk memberi peluang kepada rakyat di Sulaman kunjung mengunjungi di antara satu sama lain dan untuk memeriahkan lagi suasana perayaan itu.

“Dalam Hari Raya kita tidak memilih kaum, bangsa dan agama serta kepercayaan politik. Sebagai kawan mereka ramai datang dan saya mengucapkan terima kasih dan selamat Hari Raya kepada semua yang hadir pada hari ini,” katanya.

Selain Musa, pemimpin lain yang hadir termasuk bekas Presiden Parti Bersatu Sabah, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, Datuk Seri Panglima Lajim Haji Ukin, Timbalan Pengerusi Bersatu Sabah Datuk Seri Panglima Masidi Manjun, Adun Kiulu Datuk Joniston Bangkuai serta para pemimpin Bersatu Sabah yang lain. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *