Polis Sandakan Selesai 10 Kes Jenayah, Tahan 12 Lelaki

Azhar bersama Timbalan Ketua Polis Daerah Sandakan Supt Abdul Fuad Malek dan pegawai kanan Jabatan Siasatan Jenayah Daerah Sandakan menunjukkan barang kes yang dirampas daripada suspek. – Foto IPD Sandakan

SANDAKAN: Polis di sini berjaya menyelesaikan 10 kes jenayah dengan menahan 12 orang serta merampas pelbagai barangan dianggarkan bernilai lebih RM9,000 sepanjang sebulan sejak 16 Mei lepas.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Mohd Azhar Hamin berkata pada pertengahan bulan Mei sehingga pertengahan Jun 2019, pihak IPD Sandakan telah melakar pelbagai kejayaan yang berterusan bagi membasmi jenayah secara proaktif, khususnya untuk menjaga kepentingan masyarakat di daerah ini.

“Operasi yang dijalankan telah berjaya menumpaskan individu dan kumpulan yang terlibat dalam pelbagai kegiatan jenayah iaitu pecah rumah, curi harta benda dan samun,” katanya.

Beliau berkata dengan kejayaan tangkapan itu, pihak Jabatan Siasatan Jenayah IPD Sandakan telah menjalankan siasatan dan berjaya menyelesaikan 10 kes jenayah, merampas pelbagai barangan iaitu sebanyak 15 unit barangan dan sebuah motosikal yang digunakan untuk melakukan jenayah.

“Jumlah keseluruhan kerugian bagi 10 kes jenayah yang dilaporkan adalah RM10,000 manakala harta rampasan dianggarkan lebih kurang RM9,200.

“Suspek tangkapan seramai 12 orang yang terdiri daripada empat warga tempatan dan lapan warga asing. Kesemua suspek berumur dalam lingkungan 16 hingga 52 tahun,” katanya dalam sidang media di Bilik Mesyuarat Jabatan Siasatan Jenayah Balai Bandar Sandakan, pagi Khamis.

Beliau berkata hasil pemeriksaan ke atas kesemua tangkapan telah dapati 10 daripada mereka positif mengunakan dadah jenis methamphetamine (syabu).

“Kejayaan tangkapan ini merupakan hasil kerjasama masyarakat awam dalam menyalurkan maklumat kepada pihak polis sehingga tertangkapnya suspek yang terlibat,” katanya.

Salah satu kes terbabit, Mohd Azhar berkata pihaknya telah berjaya menahan seorang lelaki yang melakukan pecah masuk Pejabat Jabatan Perangkaan Batu 7 pada Rabu.

“Suspek yang dipercayai dikehendaki polis beberapa daerah berumur 25 tahun itu ditahan ketika memecah masuk pejabat berkenaan semasa pihaknya melakukan rondaan cegah jenayah,” katanya.

Beliau berkata siasatan lanjut terhadap suspek telah menjumpai beberapa peralatan disyaki untuk melakukan jenayah pecah rumah seperti satu sebatang pemutar skrew, sebatang spanar, sebatang besi kuku kambing dan sebuah motosikal.

“Semakan rekod lampau, suspek terlibat dalam beberapa kes curi, pecah rumah dan dadah di Kota Kinabalu dan Beaufort.

“Modus operandi mengumpil mangga, menyasarkan bangunan pejabat dan kedai, dan hanya untuk mendapatkan wang tunai,” katanya. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *