SMK Tawau Mewakili Sabah Ke Pertandingan Forum Remaja Kebangsaan

Mohammad (enam dari kanan) menyampaikan Piala Pusingan Ketua Menteri kepada guru pengiring SMK Tawau.

Kota Kinabalu: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tawau dinobat johan Pertandingan Forum Remaja Peringkat Negeri seterusnya mewakili Sabah ke peringkat kebangsaan pada 24 hingga 26 Julai nanti.

Mereka membawa balik hadiah berupa Piala Pusingan Ketua Menteri, piala iringan, wang tunai RM150 setiap seorang, buku terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) serta sijil.

Mohd Noor Aiman (dua dari kiri) dinobatkan sebagai Pengerusi Terbaik.

Memilih tajuk forum ‘Penderaan Kanak-kanak Di mana Noktahnya’ menerusi persembahan bersahaja dan interaksi aktif dengan audiens, melayakkan mereka ke peringkat kebangsaan yang akan berlangsung di DBP Kuala Lumpur.

Sementara itu, dua peserta SMK Tawau iaitu Siti Rahmah Bagis dan Mohammad Noor Aiman Hassanuddin masing-masing dianugerahkan Ahli Panel Forum Terbaik dan Pengerusi Terbaik.

Naib johan pula dimenangi Kolej Tingkatan Enam Datuk Pangiran Galpam, Sandakan dengan hadiah piala iringan, wang tunai RM130 setiap peserta, buku terbitan DBP dan sijil.

Sementara, SMK Agaseh Lahad Datu yang mendapat tempat ketiga juga menerima piala iringan, wang tunai RM110 setiap peserta, buku terbitan DBP dan sijil.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Mohammad Mohamarin sempena Pertandingan Koakademik Bahasa Melayu DBP-KPM 2019 Peringkat Sabah (Forum Remaja, Sahibba, Deklamasi Sajak dan Penyampaian Syair) di Kampus Institut Tadbiran Awam Negara (Intan Sabah), pada Khamis.

Ketika berucap merasmikan majlis, Mohammad yang mewakili Menteri Menteri Pelajaran dan Inovasi Datuk Dr Yusof Yacob berkata, pertandingan sedemikian menunjukkan iltizam semua pihak untuk bersama-sama memperkasa dan memartabatkan bahasa kebangsaan selaras dengan kehendak Perlembagaan Persekutuan.

“Ini memberikan kesedaran kepada anak bangsa bahawa bahasa kebangsaan sangat penting dalam pembinaan sebuah negara bangsa.

“Malah, kita juga mengharapkan penglibatan para pelajar pelbagai kaum dalam aktiviti seperti ini kerana kita percaya para pelajar bukan Melayu juga mahu bersama-sama memperkasakan bahasa dan sastera kebangsaan kita,” katanya pada majlis itu yang turut dihadiri Pengarah DBP Cawangan Sabah Aminah Awang Besar.

Tambahnya, kerjasama dan sokongan pelbagai pihak yang menjayakan pertandingan berkenaan adalah antara bukti usaha untuk memperkukuh kecintaan dan kemegahan terhadap bahasa kebangsaan. – Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *