Musa Aman Masih Ahli UMNO – Hajiji

Musa (duduk tengah) dan Hajiji bersama dengan para pemimpin Sabah yang hadir di rumah terbuka tersebut.

MUSA MASIH LAGI AHLI UMNO: HAJIJI

TUARAN: Kehadiran bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman dirumah terbuka Aidil Fitri Ketua penyelaras Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah Datuk Hajiji Noor di Sulaman hari ini hanya sebagai seorang kawan.

Hajiji berkata Musa yang juga Adun Sungai Sibuga itu masih lagi ahli Umno.

Musa bersalaman dengan para tetamu lain semasa tiba di rumah terbuka Adun Sulaman hari ini

Menurut Hajiji lagi beliau belum sempat bertanya sama ada Musa ingin menyertai Bersatu.

Musa tiba jam 11.30 pagi dan beramah mesra dengan para tetamu lain sebelum beliau, Hajiji serta beberapa pemimpin lain duduk bersama di dalam rumah.

Bagaimanapun, beliau menolak untuk ditemuramah wakil media semasa meninggalkan majlis lebih kurang 1.30 petang.

“Kita masih mengekalkan hubungan sebagai sahabat, lebih-lebih lagi dulu (kami) sama-sama dalam politik saya boleh anggap beliau sebagai bekas boss saya.

“Dalam suasana Hari Raya seperti ini … Kita tidak memilih, kita akan layan dan hormat pengunjung kita terutama sekali pemimpin-pemimpin kita yang sudah banyak berjasa kepada kita dan sebagainya,” kata Hajiji apabila ditemui selepas itu.

Ditanya jika beliau ada menjemput jemaah menteri dan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Hajiji memberitahu beliau tiada menghantar jemputan rasmi, walaupun demikian oleh kerana ianya rumah terbuka maka sesiapa pun boleh datang.

Kata Hajiji yang juga Adun Sulaman, sesiapapun tidak kira fahaman politik, agama dan bangsa boleh berkunjung sebagai kawan.

Antara pemimpin yang hadir ialah wakil rakyat Bersatu termasuk Ahli Parlimen Datuk Ronald Kiandee (Beluran), Datuk Zakaria Edris (Libaran), Datuk Azizah Dun (Beaufort), Adun Karanaan Datuk Masidi Manjun, Adun Usukan Datuk Japlin Akim serta Adun Klias Datuk Isnin Aliasneh.

Turut hadir ialah pemimpin pembangkang iaitu bekas presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Tan Sri Joseph Pairin Kitingan, setiausaha agung merangkap Adun Tamparuli Datuk Jahid Jahim dan ketua penerangan merangkap Adun Kiulu Datuk Joniston Bangkuai serta dari MCA dan Parti Cinta Sabah –SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *