Polis Masih Tunggu Panggilan Penculik

Polis tunggu panggilan penculik

KOTA KINABALU: Polis masih menunggu panggilan telefon dibuat penculik terhadap keluarga 10 kru bot nelayan yang diculik di perairan Lahad Datu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Omar Mammah berkata, pihaknya tidak dapat mengesahkan motif di sebalik kejadian penculikan terhadap mangsa yang kesemuanya adalah Bajau Laut sehingga panggilan telefon dibuat.

“Kita syak ia adalah untuk dapatkan wang tebusan. Tiada panggilan telefon setakat ini (daripada kumpulan penculik), jadi saya tak dapat beri apa-apa perkembangan.

“Kita bagaimanapun sudah ambil keterangan daripada mereka yang terselamat (dalam kejadian penculikan) untuk membantu siasatan,” katanya ketika dihubungi di Kota Kinabalu.

Dalam kejadian jam 2 pagi semalam, kumpulan bersenjata menyerang dua bot yang dinaiki 16 kru bot nelayan dan menculik 10 daripadanya.

Kejadian penculikan terbaharu itu dipercayai berlaku berhampiran sempadan perairan Filipina.

Enam lagi nelayan dilaporkan diselamatkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Omar berkata, kumpulan penculik bagi mendapatkan wang tebusan kini menyasarkan nelayan kerana mahu majikan membayar untuk melepaskan pekerja mereka.

Mengenai nelayan yang diselamatkan, Omar berkata, tiada kecederaan dilaporkan dan kumpulan bersenjata dipercayai tidak melepaskan tembakan dalam kejadian itu. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *