Wartawan Nafi Terlibat Insiden Langgar Lari, Mahu Polis Siasat Individu Bocorkan Maklumat Peribadinya

Keadaan kereta yang dikatakan pemandunya melanggar lari di tempat kejadian. Gambar Media Sosial

KOTA KINABALU: Seorang wartawan menafikan terlibat dengan kemalangan langgar lari pada Isnin malam yang ditularkan oleh dua orang pengguna laman sosial Facebook sejak kelmarin.

Arthur Edward, 31, berkata beliau mengetahui tuduhan berkenaan setelah salah seorang rakannya menghubungi beliau menyatakan dirinya ditularkan dan dituduh melakukan jenayah terbabit tanpa usul periksa.

Terdahulu, dua individu pengguna facebook menggunakan nama Richeal Moose Amatus dan Lqmnl Hqem memuatnaik di status masing-masing meminta bantuan orang ramai mencari Arthur yang mereka tuduh melakukan kesalahan langgar lari.

Dalam posting status terbabit mereka turut menunjukkan gambar dan maklumat peribadi wartawan berkenaan yang diambil daripada sebuah sistem yang masih belum diketahui sumbernya.

Dalam pada itu, Arthur yang bekerja dengan salah sebuah organisasi berita kebangsaan membuat laporan polis pada pagi hari ini sebagai penafian bahawa beliau tidak terlibat sama sekali dengan kes berkenaan.

“Untuk makluman kenderaan jenis Proton Saga berkenaan telah terlibat dalam satu kemalangan dan pemandu semasa kenderaan berkenaan telah membuat laporan polis di balai polis Tuaran selepas kemalangan berkenaan.

“Oleh itu, saya menafikan bahawa saya ada kaitan dengan kes berkenaan dan saya tidak berpuas hati dengan individu yang telah menularkan identiti dan maklumat peribadi saya di laman sosial facebook,” katanya dalam laporan polis itu.

Beliau meminta pihak berkuasa menyiasat individu terbabit yang membocorkan maklumat peribadinya dan bagaimana ianya boleh diperoleh dengan mudah oleh orang awam.-SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *