Lelaki Simen Mayat Kekasih Ke Dalam Lubang Konkrit

Moscow: Seorang lelaki bertindak kejam apabila membunuh kekasihnya sebelum membakar dan mencampak mayat mangsa ke dalam lubang yang kemudian ditimbus dengan batu serta konkrit.

Menurut dokumen mahkamah, Vasily Mangoshvili, 31, mencekik Tatiana Mukhorotova, 24, hingga mati ketika bergaduh di sebuah kampung di Alexeyevskoye, Russia.

Polis menunjukkan lubang di mana mayat mangsa ditemui ditimbus dengan batu dan simen. FOTO Agensi Agensi

Mail Online melaporkan, Mangoshvili yang sudah berkahwin dilaporkan menjalin hubungan sulit dengan Tatiana, seorang ibu tunggal yang memiliki tiga anak.

Pasangan itu dilaporkan bergaduh selepas Tatiana mendesak Mangoshvili meninggalkan isterinya dan wanita itu juga mengugut untuk mendedahkan hubungan mereka.

Kerana berang, Mangoshvili mencekik Tatiana hingga mati sebelum dia membakar mayat wanita itu.

Mangoshvili kemudian membuang mayat mangsa ke dalam satu lubang sebelum menutupnya dengan batu dan simen.

Kehilangan Tatiana disedari ibunya apabila mangsa tidak pulang ke rumah selepas bertemu Mangoshvili yang dikenalinya di laman media sosial.

Suspek yang mengaku salah atas tuduhan membunuh wanita itu kemudian dihukum penjara sembilan tahun oleh mahkamah. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *