‘Nur Sajat, Minta Maaf Atau Saman’ – Yusmiliati

Yusmiliati (kiri) pada sidang media di Pejabat Profima, Taman Permata, Setapak, Kuala Lumpur.

Ahli perniagaan terkenal Muhammad Sajjad Kamaruzzaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat diminta membuat permohonan maaf secara bertulis dan video kepada individu bernama Yusmiliati Mohamed Yusof dalam tempoh 48 jam bermula hari ini jika tidak mahu disaman.

Permohonan itu bagi membersihkan nama Yusmiliati yang dituduh sebagai penipu berikutan didakwa gagal menguruskan penukaran jantina Sajat di Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia (JPNM).

Yusmiliati ketika ditemui berkata, niatnya untuk membantu mempermudahkan urusan penukaran jantina Sajat tetapi ditolak JPN berikutan ada dokumen yang tidak lengkap.

“Saya dituduh tidak buat kerja berikutan dia sudah bayar sejumlah wang kepada saya. Berikutan itu, dia menerusi pembantu peribadinya, Ashaari Maznan membuat laporan polis terhadap saya.

“Disebabkan laporan itu, saya ditahan reman selama empat hari di Balai Polis Ampang dan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. “Kini saya terpaksa turun naik mahkamah atas dakwaan menipu kerana mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu,” katanya pada sidang media isu berkenaan yang diadakan di pejabat Persatuan Pekerja Perfileman Malaysia (Profima), di sini, petang tadi.

Hadir sama pada sidang media itu, peguam Yusmiliati, Ahmad Faiq Azizan dan Mohd Amirul Ramli.

Berkongsi perkenalannya dengan Sajat, Yusmiliati berkata, dia mengenali ahli perniagaan itu melalui seorang teman pada Jun 2017.

“Saya menawarkan diri membantu Sajat untuk mengubah status jantina asal pada kad pengenalannya.

“Selepas beberapa kali berurusan Sajat gagal mengemukakan dokumen pengesahan daripada doktor yang menyatakan dia khunsa,” katanya.

Tegas Yusmiliati sekiranya Sajat gagal membuat permohonan maaf, dia tidak teragak-agak untuk bawa perkara itu ke mahkamah. – Harian Metro

1049