Selepas hampir dua bulan bercerai dengan dengan Bella Astillah, 25, penyanyi dan pelakon Singapura, Aliff Aziz, 28, dilihat memberi bayangan mahu kembali bersama bekas isterinya itu selepas memuat naik hantaran di Instagram mengenang saat-saat bersama Bella, hari ini.
Dalam hantaran yang ditulis dalam bahasa Inggeris itu, Aliff menulis mengenai tarikh pernikahan mereka pada 9 September 2016 berserta dua gambar pernikahan mereka.
Dia juga berdoa semoga Allah menyatukan mereka kembali dan menjadikan dia suami dan bapa terbaik selepas ini.
“Jodoh pertemuan di tangan Allah, walau apa pun orang cakap, hanya awak saja yang tahu siapa diri saya. Saya harap awak doakan saya seperti mana awak selalu dalam doa saya,” tulisnya selain meminta masyarakat mendoakan yang baik-baik untuknya.
Dalam hantaran itu, Aliff turut menyifatkan Bella sudah memberi yang terbaik sejak kali pertama mereka bertemu.
Menurut Aliff, bekas isterinya itu sentiasa berada di sisinya ketika dia berada dalam fasa paling atas dan bawah dalam hidup.
Malah, dia dilihat turut menyesali dengan apa yang berlaku terhadap kegagalan perkahwinan mereka.
“Salah satu hari paling magis dalam hidup saya di mana Allah merahmati saya dengan wanita paling hebat untuk saya berkongsi hidup.
“Dalam tahun-tahun yang penuh dengan kebahagiaan dan kesedihan, turun dan naik, dia sentiasa bersama saya. Jika saya mampu memutar balik masa, ada banyak perkara saya akan ubah dan melakukan perbezaan,” tulisnya.
Katanya, dia akan memberi yang terbaik pernah diberikan tapi dia sedar inilah akibatnya kerana tidak mengambil endah masa dan rahmat Allah kurniakan.
“Apabila tiba masanya, barulah saya sedar apa yang sudah dilakukan dan sebagai manusia biasa, kita pasti akan kembali kepada Allah apabila dunia kita mula berkocak dan hilang segala-galanya. Tapi inilah ‘panggilan’ daripada Allah untuk saya sedar betapa jauhnya saya daripada jalan yang benar,” tulisnya di Instagram.
Dalam pada itu, Aliff turut mendoakan semoga Allah merahmati Bella dan menyifatkan bekas isterinya itu sebagai istimewa.
“Terima kasih juga kerana melahirkan anak kita, Ayden Adrean sebagai tanda cinta kita. Saya perlu memperbaiki hubungan dengan Allah kerana Dialah sebaik-baik perancang dan mampu mengubah hati kita. Saya harap awak sekeluarga selalu dirahmati dan dilindungi,” tulisnya.
Aliff juga menyedari status dimuat naiknya itu akan mendapat pelbagai reaksi tapi mendakwa kata-kata diluahkan itu datang daripada hatinya.
Sementara itu, usaha Harian Metro menghubungi Aliff menerusi panggilan telefon dan kiriman WhatsApp bagi mendapatkan reaksinya tidak berjaya apabila dia tidak menjawab panggilan dan membalas mesej.
Aliff dan Bella bercerai talak satu pada 16 Mei lalu di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur selepas beberapa siri kecurangan penyanyi kelahiran Singapura itu.
Pada 27 Mei lalu, Aliff juga pernah memberi bayangan sama untuk kembali kepada bekas isterinya itu. – Harian Metro