Jalan Gravel, Jambatan Sempit Jejaskan Pelancongan Di Kadamaian

Presiden Persatuan Pelancongan Kadamaian (KATA), Walter Kandayon.

Kota Belud: Walaupun menerima kehadiran ramai pelancong tahun lalu, masih ada beberapa masalah infrastruktur seperti kemudahan jalan raya dan jambatan di kawasan pelancongan luar bandar di Kadamaian di sini, yang perlu diberi perhatian segera untuk dinaik taraf.

Presiden Persatuan Pelancongan Kadamaian (KATA), Walter Kandayon, berkata ini kerana masih ada sebahagian jalan ke beberapa kampung yang terbabit sebagai lokasi pelancongan di kawasan Kadamaian, mempunyai jalan gravel atau batu kerikil.

Beliau berkata, antara kampung itu ialah Kampung Telungan, Sayap, Gansurai, Tambatuon, Terintdon dan Mangkulat.

“Ini antara cabaran kita kerana masih ada jalan gravel di beberapa kampung yang terbabit dalam pelancongan di Kadamaian. Keadaan bertambah teruk apabila hujan sekali gus menyukarkan kenderaan kecil untuk masuk.

“Walaupun tidak semua jalan gravel tetapi ia memberi masalah kepada pengunjung yang datang dengan kenderaan sendiri terutama selepas hujan. Selain jalan gravel, ada lapan jambatan kecil yang menghubungkan dengan kawasan pelancongan di beberapa kampung itu yang perlu dibesarkan.

“Jika kenderaan kecil tiada masalah melalui jambatan ini tetapi jika kenderaan besar (bas pelancong), ia tidak dapat melalui jambatan berkenaan. Inilah antara dua cabaran (jalan gravel dan jambatan kayu) yang kami masih hadapi,” katanya ketika dihubungi di sini.

Difahamkan ada kira-kira 200 kilometer (km) lagi jalan gravel di Kadamaian, termasuklah sebahagian jalan menuju ke kawasan pelancongan di kampung berkenaan.

Sehubungan itu, Walter berkata, pihaknya sudah mengemukakan masalah ini kepada pihak berkaitan dan berharap ia dapat diselesaikan.

“Saya berharap masalah ini dapat ditangani bagi memastikan lebih ramai pengunjung datang ke kawasan pelancongan di Kadamaian ini,” katanya KATA ditubuhkan pada penghujung 2014 bagi menyelaras pengurusan dan aktiviti ahlinya.

Pusat pelancongan Kadamaian di Kota Belud, yang terletak kira-kira 85 kilometer dari Kota Kinabalu, mula menerima pelancong sejak lebih empat tahun lalu.

Pusat pelancongan itu terletak di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian dan mempunyai 74 kampung dengan lebih 35,000 penduduk.

Antara aktiviti riadah disediakan untuk pelancong di Kadamaian ialah meneroka hutan, mendaki bukit (hiking), arung jeram (water rafting) di Sungai Kadamaian, ‘birdwatching’, ‘stargazing’, pelancongan pendidikan dan kebudayaan tradisi.

Tahun lalu, Kadamaian merekodkan kehadiran kira-kira 100,000 pelancong dalam dan luar negara manakala tahun ini mensasarkan lebih 150,000 pelancong akan datang. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *