Tuduhan dalam Video Komplot Jahat Dan fitnah – Azmin

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali 

PUTRAJAYA: Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menafikan sekeras-kerasnya pembabitan beliau dalam sebuah video lucah yang tersebar sejak semalam dan menyifatkannya sebagai satu tuduhan jahat dan kejam.

Timbalan Presiden PKR itu menegaskan, beliau yakin siri fitnah itu komplot jahat untuk mencemarkan reputasi dan keperibadian serta menjatuhkan dan memusnahkan kerjaya politiknya.

“Saya yakin kerja jijik ini telah dimulakan beberapa bulan lalu berdasarkan perkembangan politik semasa melalui intimidasi terhadap keselamatan diri dan keluarga pada minggu terakhir Ramadan serta tuduhan rasuah yang tidak benar dan tidak berasas.

“Saya mengutuk sekeras-kerasnya ‘gutter politics’ (politik kotor). Sesungguhnya, ia tidak mempunyai tempat dalam era Malaysia Baharu, ketika kita berusaha untuk membina semula negara melalui reformasi institusi dan berpegang kepada politik nilai yang luhur dan murni,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohamed Azmin berkata, beliau sudah mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang membuat tuduhan jahat serta terhadap pelaku lain.

Katanya, beliau akan menggunakan segala kaedah undang-undang yang sah untuk mendedahkan mereka yang turut terbabit dalam kerja jahat berkenaan.

“Saya sama sekali tidak akan tunduk kepada tindakan-tindakan pengecut ini dan percubaan untuk mengalihkan perhatian orang ramai daripada isu-isu negara yang lebih mendesak dan kejayaan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dalam melaksanakan dasar pembangunan negara yang mampan dan inklusif.

“Saya yakin Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengambil segala langkah yang perlu berhubung tuduhan jahat ini,” katanya.

Pada awal pagi ini, seorang individu mendakwa terbabit sama dalam video itu, dilaporkan tampil membuat pengakuan bersumpah bahawa dia terbabit dalam aksi berkenaan.

Mengaku namanya sebagai Haziq Aziz mendakwa video itu dirakam pada 11 Mei lalu di sebuah bilik hotel di Sandakan.

Semalam Dr Mahathir pada sidang medianya memaklumkan tidak mengetahui mengenai penyebaran beberapa keping gambar dan video intim mirip seorang menteri.

Berikut kenyataan penuh beliau:

Saya merujuk kepada laporan media hari ini berhubung fitnah dan tuduhan seorang individu yang cuba mengaitkan saya dalam satu video lucah.

Saya menafikan sekeras-kerasnya tuduhan ini yang bersifat tuduhan jahat dan kejam.

Saya yakin siri fitnah ini adalah komplot jahat untuk mencemarkan reputasi dan keperibadian saya serta menjatuhkan saya dan memusnahkan karier politik saya.

Saya yakin kerja jijik ini sudah dimulakan beberapa bulan lalu berdasarkan perkembangan politik semasa melalui intimidasi terhadap keselamatan diri dan keluarga pada minggu terakhir Ramadan serta tuduhan rasuah yang tidak benar dan tidak berasas.

Saya mengutuk sekeras-kerasnya ‘gutter politics’. Sesungguhnya, ia tidak mempunyai tempat dalam era Malaysia Baharu, dengan kita sedang berusaha untuk membina semula negara melalui reformasi institusi dan berpegang kepada politik nilai yang luhur dan murni.

Saya sudah mengarahkan peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu yang membuat tuduhan jahat serta terhadap pelaku lain.

Saya akan menggunakan segala kaedah undang-undang yang sah untuk mendedahkan mereka yang turut terbabit dalam kerja jahat ini.

Saya sama sekali tidak akan tunduk kepada tindakan pengecut ini dan percubaan untuk mengalihkan perhatian orang ramai daripada isu-isu negara yang lebih mendesak dan kejayaan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi dalam melaksanakan dasar pembangunan negara yang mampan dan inklusif.

Saya yakin Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan mengambil segala langkah yang perlu berhubung tuduhan jahat ini. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *