Christina Liew Ketuai Delegasi Rundingan Selamatkan Badak Sumatera Di Indonesia

Christina ketuai delegasi rundingan selamatkan badak Sumatera di Indonesia

KOTA KINABALU: Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew akan mengetuai delegasi ke Indonesia bagi memulakan rundingan dengan kerajaan republik itu berkaitan memorandum persefahaman (MoU) pemeliharaan badak sumbu Sumatera, bulan depan.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, berkata rundingan berkisar mengenai mengubah suai beberapa terma dan syarat yang terkandung dalam dokumen MoU itu.

“Ini bagi memastikan tiada klausa terbuka yang boleh menimbulkan pertikaian pada masa depan dalam melaksanakan peruntukan terma dan syarat terbabit.

“Kita juga akan membincangkan mengenai pemilikan bersama badak Sumatera yang lahir atau dihasilkan melalui pembiakan dalam kurungan di Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, Christina mempengerusikan mesyuarat yang dihadiri pegawai kementeriannya, Konsulat Jeneral Indonesia di Kota Kinabalu, Borneo Rhino Alliance (BORA) dan Tabung Hidupan Liar Sedunia (WWF-Malaysia) bagi membincangkan pelaksanaan peruntukan dalam rangka MoU mengenai pemeliharaan badak Sumatera.

Yang turut hadir, Konsul Jeneral Indonesia di Kota Kinabalu, Krishna Djelani, Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, William Baya dan Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah, Augustine Tuuga.

Christina sebelum ini berkata kerajaan negeri akan menyemak semula terma dan syarat 13 MoU berhubung kerjasama pemeliharaan badak Sumatera yang belum dilaksanakan sepanjang tempoh rundingan selama sedekad yang lalu.

Mesyuarat yang diadakan semalam, katanya turut menyentuh mengenai susunan pelaksanaan (IA) di antara Kementerian Alam Sekitar dan Perhutanan Republik Indonesia dengan Kementerian Air, Tanah dan Sumber Asli berhubung program kerjasama penggunaan teknologi bantuan pembiakan badak Sumatera (ART-SR).

Ketika mesyuarat itu, katanya BORA memberikan pandangannya berkaitan pengumpulan dan peyimpanan semen, pengambilan ovum daripada badak sumbu betina terakhir Malaysia iaitu Iman, pengkulturan sel kulit, penggunaan kaedah kesuburan in-vitro, penyimpanan embrio dan pemindahan embrio kepada ibu tumpang badak.

WWF – Malaysia turut menyatakan kesediaan memberikan sokongan kewangan untuk program pembiakan badak dalam tempoh pelaksanaan MoU dan melaksanakan mekanisme untuk mendapatkan dana.

Ketika ini, Malaysia hanya memiliki badak betina iaitu Iman, satu-satunya badak sumbu Sumatera yang masih hidup di negara ini selepas badak jantan terakhir negara mati akibat usia tua dan kegagalan pelbagai organ dalaman pada 27 Mei lalu.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *