MOSCOW: Polis Russia menemui sejumlah berlian curi bernilai sekitar AS$3 juta (RM12.4 juta) dan lebih AS$2.5 juta (RM10.4 juta) wang tunai milik sindiket jenayah yang beroperasi dalam syarikat pengeluar berlian terbesar dunia milik kerajaan, Alrosa.
Alrosa menerusi kenyataannya berkata, kejadian dibongkar oleh pihak keselamatan yang berjaya mengesan kegiatan mencuri berlian di jabatan pengasingan dan penggredan, lapor Reuters.
Menurut Jawatankuasa Siasatan Russia, tiga suspek yang termasuk salah seorang pekerja Alrosa sudah ditahan.
Penyiasat berkata, suspek terbabit ditangkap pada Khamis lalu ketika cuba mencuri sejumlah lagi berlian bernilai lebih AS$340,000 (RM1.4 juta).
Siasatan lanjut membawa kepada penemuan besar sejumlah berlian dan wang tunai itu termasuk barangan kemas serta berpuluh lagi jam tangan bertatahkan berlian.
Satu rakaman video yang dikongsi oleh jawatankuasa itu menunjukkan beberapa peti simpanan yang berisi wang kertas AS$100 (RM416), kotak barangan kemas jenama Tiffany dan Dior serta pelbagai beg plastik berisi berlian yang belum digilap. – Reuters