Perkenal Harga Siling Tiket Penerbangan Sabah, Sarawak Dan Semenanjung

KUCHING: Sudah tiba masanya Kerajaan Persekutuan menimbangkan secara serius pengenalan harga siling tiket penerbangan menghubungkan Sarawak, Sabah dan Semenanjung bagi mengelak manipulasi kadar tambang melampau.

Ini penting, berikutan manipulasi harga tambang yang kerap berlaku terutamanya pada musim perayaan dan cuti sekolah, yang mana laluan Kuala Lumpur – Sibu atau Kuching – Kuala Lumpur boleh melambung sehingga RM1,000 bagi seorang penumpang.

Menteri Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, bagaimanapun syarikat penerbangan tempatan sanggup pula menurunkan harga tiket serendah mungkin bagi sektor Asia Tenggara.

“Atas alasan persaingan daripada syarikat penerbangan lain, mereka boleh pula merendahkan tambang. Sebab itu, monopoli satu atau dua syarikat saja bagi laluan tertentu di negeri ini adalah tidak munasabah.

“Inilah masalah kita alami sekarang, kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan,” katanya hari ini.

Beliau berkata, Kerajaan Persekutuan perlu memberi perhatian mendalam kepada masalah dan beban harga melampau terutama membabitkan sektor pengangkutan udara membabitkan negeri besar, Sarawak dan Sabah.

“Harga tiket melambung juga berlaku di laluan dalam negeri seperti laluan Kuching – Miri. Kerajaan mesti bertindak agar ada siling terhadap sektor ini tapi nampaknya tiada apa-apa yang dilakukan,” katanya.

Abdul Karim berkata, bagi keluarga besar dengan harga tiket dilepaskan kepada tekanan pasaran semata-mata pastinya membebankan.

“Subsidi terhadap barang keperluan ada, namun untuk pengangkutan seperti dilepaskan begitu saja. Sarawak masih memerlukan perhubungan udara kerana muka buminya yang luas,” katanya.