Taman Geologi Kinabalu Tidak Jejas Kegiatan Penduduk

KOTA KINABALU: Penubuhan Kinabalu Geopark atau Taman Geologi Kinabalu berkeluasan kira-kira 3,500 kilometer persegi merangkumi daerah Ranau, Kota Belud dan Kota Marudu tidak akan menjejaskan kegiatan penduduk.

Penasihat Kinabalu Geopark, Prof Dr Felix Tongkul, berkata penduduk di kawasan yang terbabit boleh meneruskan pelbagai kegiatan termasuk pertanian kerana tiada larangan atau halangan dikuatkuasa apabila ia diwartakan.

Bagaimanapun, kata beliau, penduduk akan diberikan panduan mengenai kepentingan dan kelebihan status taman itu bagi membantu mereka menjana ekonomi menerusi kegiatan berasaskan eko pelancongan.

“Kita sedar ada penduduk yang bimbang tanah mereka mungkin diambil atau mereka dilarang melakukan sebarang kegiatan seperti pertanian, mengambil batu atau membina rumah apabila Kinabalu Geopark diwartakan.

“Penubuhan taman ini sebenarnya hanya satu konsep berkaitan geologi yang bertujuan untuk memelihara kelestarian alam sekitar di sekeliling Taman Kinabalu dan ia tiada sempadan yang jelas.

“Jadi, penduduk tidak seharusnya bimbang atau salah faham mengenai penubuhan Kinabalu Geopark, sebaliknya mereka bakal menikmati pelbagai manfaat apabila taman itu sudah diwartakan nanti,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai perkembangan proses penilaian untuk mewartakan Kinabalu Geopark sebagai Geopark Kebangsaan, yang sebelum ini disasar diwartakan pada tahun ini atau tahun depan.

Dr Felix yang juga pakar geologi Universiti Malaysia Sabah (UMS), berkata kegiatan eko pelancongan seperti tarikan ‘tagal’ atau penjagaan sungai yang diamalkan masyarakat Kadazandusun akan dapat dikembangkan dengan lebih baik selepas taman itu diwartakan.

Katanya, ia adalah manfaat penting yang bakal dinikmati penduduk selain pembukaan lebih banyak tarikan berasaskan alam semula jadi di sekeliling Taman Kinabalu yang sebelum ini tidak diketahui atau kurang mendapat perhatian.

“Contohnya, mungkin ada gua, tumbuhan, batuan atau bentuk muka bumi unik dan air terjun di kawasan itu yang sebelum ini tidak terjaga, namun selepas Kinabalu Geopark diwartakan, kita boleh membantu memeliharanya.

“Ia secara tidak langsung dapat menghalang khazanah warisan di sekeliling Taman Kinabalu daripada mengalami kerosakan atau hilang disebabkan pembangunan. Ia juga dapat bantu menjana ekonomi penduduk menerusi promosi eko pelancongan,” katanya.

Beliau berkata, Kinabalu Geopark merangkumi tiga komponen penting iaitu evolusi geologi, flora dan fauna serta budaya atau kegiatan masyarakat di kawasan terbabit sejajar konsep taman geologi yang merangkumi semua aspek seperti batuan, tanah dan kehidupan di atasnya.

Katanya, tujuan utama penubuhan Kinabalu Geopark adalah untuk menyokong kewujudan Taman Kinabalu di mana terletaknya Gunung Kinabalu yang diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia supaya tidak diancam oleh pembangunan di sekeliling kawasan taman.

“Gunung Kinabalu menjadi asas utama kepada pembentukan Kinabalu Geopark kerana semua kejadian geologi bermula dari gunung itu hingga ke kawasan sekitarnya adalah saling berkaitan dan menyokong antara satu sama lain,” katanya.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *