Tiada Kajian Semula, Pelantikan ADUN Dilantik DAP Kekal – Ketua Menteri

Shafie menghulurkan Duit Raya kepada Golongan Kelainan Upaya (OKU) yang menghadiri rumah terbuka Hari Raya Kabinet negeri Sabah di perkarangan bangunan Yayasan Tun Mustafah. – Foto BERNAMA

Pelantikan ADUN Dilantik DAP kekal

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri tidak akan mengkaji semula keputusan melantik Bendahari DAP Sabah, Loh Ee Eng, sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dilantik yang baharu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata pelantikan Ee Eng yang diumumkannya pada 17 Mei lalu kekal walaupun ada pihak mempertikaikan kelayakannya kerana bukan anak jati Sabah.

“Tiada kajian semula. Ia dicadangkan DAP sebagai wakil parti itu untuk ADUN Dilantik dan kita hormat pilihan mereka.

“Ia tidak bertentangan dengan perlembagaan dan beliau juga sudah lama menetap di sini. Jadi, saya fikir beliau juga layak,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran kerajaan negeri di pekarangan Menara Tun Mustapha, Teluk Likas, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni dan isteri Ketua Menteri, Datin Seri Shuryani Shuaib, selain menteri Kabinet negeri.

Mohd Shafie berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan pihak pembangkang yang menuduh Ee Eng tidak layak menjadi ADUN Dilantik kerana berasal dari Pulau Pinang.

Bagaimanapun, bekas Ketua Menteri, Datuk Yong Teck Lee, yang juga Presiden Parti Maju Sabah (SAPP), sebuah parti pembangkang tempatan, menyokong pelantikan itu kerana tiada larangan mengenai pelantikan individu yang tidak lahir di Sabah dalam Perlembagaan Negeri.

Mengulas lanjut, Mohd Shafie meminta semua pihak menghentikan isu pelantikan Ee Eng dan sebaliknya mengingatkan bahawa usaha membangunkan negeri adalah lebih penting.

Sementara itu, Mohd Shafie berkata beliau akan memanggil Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN), Datuk Hashim Paijan, berhubung persediaan menghadapi banjir di negeri itu berikutan cuaca buruk kebelakangan ini.

“Saya sudah arahkan supaya agensi berwajib mengambil tindakan sama ada berbentuk bekalan makanan, tempat tinggal dan aspek lain yang perlu disediakan demi keselamatan dan kesihatan orang ramai yang menjadi mangsa bencana alam.

“Saya juga sudah maklumkan kepada Setiausaha Kerajaan Negeri untuk panggil semua agensi berkaitan seperti bomba. Pada masa sama, kita akan melaksanakan langkah pencegahan banjir khususnya bagi menangani masalah air pasang selain parit dan longkang,” katanya.

Terdahulu, beliau berkata kehadiran ramai pengunjung pelbagai kaum dan agama pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran kerajaan negeri menggambarkan ikatan persaudaraan yang kuat dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama di negeri ini.

Katanya, perpaduan dan semangat bersatu padu masyarakat pelbagai kaum dan agama penting sebagai asas ke arah menjadikan Sabah sebuah negeri yang pesat membangun. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *