Kerajaan Negeri Sabah Teliti semula MoU Pembiakan Badak Sumatera

Badak sumbu Sumatera. – Foto Google

Sabah teliti semula MoU pembiakan badak Sumatera

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri akan meneliti semula 13 memorandum perjanjian (MoU) mengenai usaha pembiakan badak sumbu Sumatera yang belum dilaksanakan di antara negeri ini dengan Indonesia.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew, berkata dokumen itu sudah ditandatangani wakil dari negeri ini tetapi belum ditandatangani Indonesia sepanjang tempoh rundingan selama sedekad yang lalu.

“Tumpuan kita kali ini adalah meminda apa yang perlu dalam MoU yang dibuat sebelum ini. Kita bersikap terbuka terhadap syarat yang ditetapkan kerana objektif kita adalah untuk mencapai persetujuan berkaitan membantu pembiakan badak.

“Kerajaan negeri juga tidak kisah jika Indonesia menyimpan anak badak pertama yang dilahirkan jika perjanjian mengenai program pembiakan badak dipersetujui melalui rundingan semula yang kita mahu laksanakan,” katanya, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri ditemui pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ketua Menteri dan Jemaah Menteri Kerajaan Negeri di pekarangan Menara Tun Mustapha, Teluk Likas, di sini.

Yang turut hadir, Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni serta Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan isteri, Datin Seri Shuryani Shuaib.

Christina berkata rundingan semula itu adalah berkaitan usaha membiakkan benih badak sumbu Sumatera betina terakhir di Malaysia dikenali sebagai Iman dengan benih badak jantan di Indonesia.

Katanya, satu pertemuan dengan Konsul Jeneral Indonesia, di sini juga akan diadakan minggu depan bagi membincangkan proses memudah cara rundingan dengan pihak berkuasa negara itu berhubung pemeliharaan badak sumbu Sumatera di negeri ini.

“Dalam pertemuan itu, pihak Indonesia di sini akan membantu mengatur lawatan kita ke Indonesia untuk membincangkan program pembiakan badak, khususnya untuk badak terakhir kita, Iman yang kini juga sedang sakit,” katanya.

Pada 27 Mei lalu badak Sumatera jantan terakhir di negara ini yang dikenali sebagai Tam mati akibat usia tua dan kegagalan organ dalaman, meninggalkan hanya Iman badak sumbu Sumatera yang masih hidup di negara ini.

Sementara itu, Christina berkata bangkai Tam akan dibersihkan sebelum dibina semula dan diawet mengikut saiz asalnya sebelum ditempatkan di Muzium Negeri, di sini sebagai tarikan pelancongan.

Katanya, ia juga bagi membolehkan orang ramai dapat melihat secara dekat saiz sebenar hidupan liar itu. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *