Tiga Kanak-Kanak Rentung, 202 Rumah Musnah Dalam Kebakaran Di Manggatal

Keadaan rumah yang musnah selepas kebakaran awal pagi tadi di Kampung Lok Buta

KOTA KINABALU : Seorang lagi ditemukan rentung menjadikan tiga mangsa terkorban dalam kebakaran melibatkan kira-kira 202 rumah setinggan atas air di sini, pada awal pagi Ahad.

Mangsa dikenali sebagai Nana Abdullah, 4, Mohd Asrul Abdullah, 6, dan Nurfarahdilah Mohd Tajihah, 8, ditemukan rentung oleh pasukan bomba.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, Mohd Pisar Aziz berkata, kebakaran melibatkan kawasan rumah setinggan atas air jenis tidak kekal iaitu Kampung Lok Buta.

“Anggaran awal kebakaran melibatkan kira-kira 202 rumah dengan keluasan kawasan terjejas.

“Pasukan bomba berjaya mengawal kebakaran daripada terus merebak ke kawasan berhampiran dan operasi pemadaman serta kerja-kerja overhaul sedang dijalankan.

“Teknik pemadaman offensive menggunakan pam (sumber terbuka) dan melakukan fire break dengan meruntuhkan empat rumah,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, terdapat tiga dikhuatiri hilang dalam kejadian tersebut.

“Kesemua mangsa telah dijumpai dalam keadaan rentung oleh pasukan bomba.

“Mangsa melibatkan kanak-kanak perempuan dan seorang kanak-kanak lelaki,” katanya.

Katanya lagi, jumlah sebenar rumah yang terlibat serta status mangsa masih dalam proses pengesahan.

“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya.

Ikuti kami di Channel WhatsApp  dan Telegram kami Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *