Amuk tikam murid

KEADAAN di tempat kejadian. – Agensi

TOKYO: Dua orang termasuk seorang murid sekolah maut manakala lebih 10 orang cedera selepas diserang lelaki bersenjatakan pisau sebelum penyerang terbabit menikam diri sendiri hingga mati, dalam kejadian di Tokyo pagi semalam.

Kejadian dilaporkan berlaku di bandar Kawasaki kira-kira jam 8 pagi waktu tempatan selepas pihak bomba menerima panggilan kecemasan, lapor AFP.

Media tempatan melaporkan, beberapa saksi melihat seorang lelaki berusia 50-an memegang sebilah pisau berhampiran stesen bas ketika ramai murid menunggu di situ sambil melaungkan ‘Aku akan bunuh kamu!’

Dia kemudian mengamuk menyerang mangsa menyebabkan sekurang-kurangnya 16 lagi yang lain cedera sebelum penyerang itu menikam diri sendiri.

Seorang penduduk, Matsumoto, 25, berkata, dia meluru keluar dari rumahnya sebaik terdengar jeritan.

“Sukar untuk menggambarkan kejadian itu dan sebaik saja keluar saya melihat seorang lelaki terbaring di atas jalan manakala seorang murid perempuan sedang terbongkok.

“Lima atau enam lagi murid perempuan berlumuran darah,” katanya.

Beberapa jam selepas kejadian, lokasi terbabit dilihat masih dikerumuni dengan anggota bantuan kecemasan selain terdapat tiga van polis yang berada di situ.

Sebuah khemah turut didirikan oleh anggota bantuan kecemasan itu berhampiran lokasi kejadian untuk merawat mangsa yang cedera.

Stesen televisyen NHK sebelum itu melaporkan, terdapat dua pisau ditemui di tempat kejadian namun maklumat terbabit masih belum disahkan pihak berkuasa.

Insiden ganas agak jarang berlaku di Jepun dan kebanyakan kanak-kanak di negara itu pergi dan balik ke sekolah secara bersendirian tanpa ditemani ibu bapa. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *