TAWAU: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan tiga bot nelayan yang disyaki menjalankan kegiatan menangkap ikan di kawasan larangan iaitu kurang dua batu nautika dari pantai, di sini, semalam.
Ketiga-ketiga bot nelayan tempatan itu dikesan menangkap ikan menggunakan pukat tunda berhampiran pesisir pantai Laut Merotai dan Laut Sungai Udin, di sini, kira-kira jam 9 pagi.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, berkata pemeriksaan yang dijalankan mendapati bot terbabit masing-masing dikendalikan seorang juragan tempatan dan dua lelaki warga Indonesia berumur 37 hingga 44 tahun.
Katanya, turut ditahan enam anak kapal yang juga warga Indonesia berumur antara 30-40 tahun.
“Bot pukat tunda terbabit bersama hasil tangkapan kira-kira 60 kilogram dianggarkan bernilai RM1,950 diiring ke jeti Markas Operasi PPM Tawau untuk tindakan selanjutnya.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 8, Akta Perikanan 1985,” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau menasihatkan komuniti nelayan supaya tidak melanggar syarat lesen kerana perbuatan itu bukan saja mengganggu ekosistem dan hidupan laut malah turut menjejaskan sumber pendapatan nelayan pesisir pantai. – Berita Harian