Gambar budak tular bawa tuah


GAMBAR kiri, Victor membuat kerja sekolah di kaki lima menjadi tular, kanan Mubarak bersama Victor. – Agensi

LIMA, PERU: Tersentuh dengan gambar tular seorang budak membuat kerja sekolah di kaki lima jalan, seorang jutawan Bahrain terbang ke Peru bagi membantu budak berkenaan, termasuk membina rumah baru.

Gambar Victor Martin Angulo Cordoba, 11, duduk dan meniarap di kali lima di bandar Moche, Peru, sambil membuat kerja sekolah kerana rumahnya tiada bekalan elektrik, tular sejak April lalu, disaksikan jutaan orang.

Menurut laporan Daily Mirror, kisah Victor, murid tahun enam itu menarik perhatian Yaqoob Yusuf Ahmed Mubarak, 31, ahli perniagaan di Bahrain yang segera terbang ke Peru.

Akhbar Peru, Tubarco, melaporkan Mubarak membantu memperbaiki rumah keluarga Victor menjadikannya dua tingkat, termasuk memastikan mereka mendapat bekalan elektrik membantu ibu budak itu, Rosa Angulo Cordoba memulakan perniagaan agar mempunyai pendapatan lebih baik.

Menurut Mubarak, dia membantu Victor kerana kehidupan masa kecilnya juga tidak jauh berbeza.

Akhbar Diario Correo melaporkan, Victor mengucapkan terima kasih kepada Mubarak yang membantunya.

Kisah Victor diketahui ramai selepas seorang anggota polis memeriksa rakaman video CCTV, Mac lalu.

Menurut laporan Oddity Central, anggota polis itu curiga melihat seorang budak duduk di kali lima, dekat lampu jalan. Anggota polis itu kemudian membuat tangkap layar video berkenaan sebelum menyedari budak berkenaan sedang membaca buku dan membuat catatan.

Polis itu kemudian memuat naik gambar berkenaan ke Facebook yang segera tular hingga menarik perhatian lima juta orang.

Media tempatan kemudian mengesan budak itu dan mendapati dia berasal dari keluarga miskin yang tidak mampu membayar bil elektrik. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *