Wanita dirompak, ugut bunuh berhampiran Dewan KDCA

Mangsa (kanan) yang diragut berhampiran Hongkod Koisaan, kelmarin. – Gambar Ihsan Pembaca

PENAMPANG: Seorang wanita tempatan dirompak oleh seorang lelaki tidak dikenali ketika berada di dalam kereta di tepi jalan berhampiran Dewan Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA), semalam.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superitendan Mohd Harris Ibrahim berkata satu aduan telah diterima oleh pihaknya yang mana pengadu (mangsa) mendakwa beg tangan dalam pegangannya telah dirompak oleh suspek kira-kira pukul 11 malam.

Harris berkata siasatan awal mendapati, insiden tersebut berlaku di perhentian bas bertentangan dengan Dewan Hongkod Koisaan.

“Mangsa yang berumur lewat 40-an pada ketika itu sedang berehat di dalam kereta miliknya, terkejut apabila mendengar pintu kereta bahagian penumpang hadapan dibuka. 

“Kemudiannya, suspek masuk ke dalam kereta lalu menarik beg tangan yang ada dipangkuan mangsa,” katanya melalui pesanan WhatsApp yang dihantar kepada SabahNewsToday di sini hari ini.

Mangsa juga dikatakan diugut bunuh oleh suspek semasa pengadu cuba melawan dan menarik semula beg tangan tersebut dan suspek berjaya membawa lari beg tangan berkenaan.

Harris menambah pihak polis sedang berusaha mengesan suspek yang terlibat dan memohon kerjasama pihak awam untuk menyalurkan maklumat dalam kes itu.

Katanta kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan. – SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *