Debat: Kit Siang tarik diri lawan Najib

KUALA LUMPUR 23 Mei – Penasihat DAP, Lim Kit Siang mengumumkan menarik diri daripada berdebat dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas alasan bimbang program itu akan bertukar menjadi konflik pertembungan kaum antara Melayu dan Cina.

Katanya, sejak beliau mencabar Najib berdebat atas tajuk ‘Bagaimana Malaysia menjadi sebuah negara kleptokrasi dan bagaimana kita menjadi negara berintegriti’ yang kemudian disahut bekas Presiden UMNO itu, ramai yang menasihatinya tentang program yang mahu diadakan.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu menyatakan antara nasihat diterima beliau ialah penganjuran debat itu akan digunakan Najib untuk menaikkan semula popularitinya selain menjadi medan yang berisiko membangkitkan sentimen perkauman.

“Kemungkinan debat antara saya dan Najib ini boleh dimanipulasi menjadi satu konflik Melayu melawan Cina.

“Sedangkan perang melawan rasuah, penyalahgunaan kuasa dan jenayah seperti pengubahan wang haram bukan satu isu perkauman atau keagamaan tetapi satu isu nilai murni dan pentadbiran yang baik. Saya memutuskan untuk tidak meneruskan debat dengan Najib,” katanya menerusi kenyataan yang dimuat naik dalam blognya, hari ini.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan pada Selasa lalu menyahut cabaran Kit Siang dan mencadangkan supaya program debat itu diadakan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri dan disiarkan secara langsung.

Namun jelas Kit Siang, dalam tempoh 48 jam selepas kedua-dua mereka bersetuju untuk berdebat, beliau menerima pelbagai nasihat supaya tidak meneruskannya.

Kit Siang bagaimanapun cuba mempertahankan diri bahawa tindakan yang diambil beliau itu adalah demi kepentingan negara.

“Saya tahu keputusan ini akan disambut dengan tuduhan bahawa saya seorang pengecut. Namun kerjaya politik saya selama 53 tahun adalah terbuka untuk dinilai oleh rakyat sama ada saya seorang penakut atau tidak.

“Saya sentiasa bersedia untuk menerima penghakiman rakyat. Bagaimanapun, satu perkara yang saya tidak akan kompromi, iaitu kepentingan negara dan rakyat,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *