Dulu Daftar PATI, Sekarang Tuduh Warisan Yang Berikan Dokumen

KOTA KINABALU: Kewujudan aktiviti penjualan borang permohonan dokumen palsu kepada warga asing adalah susulan daripada masalah kewujudan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dimulakan oleh Barisan Nasional (BN) di Sabah dan kini perlu dibersihkan oleh kerajaan negeri pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan).

BORANG JPN berlambang WARISAN dipercayai dijual sindiket kepada pendatang tanpa izin (PATI) di Sabah untuk mengaut keuntungan. – Foto IHSAN Parti Warisan.

Ketua Wira Warisan, Datuk Mohd. Azis Jamman berkata, ketika ini, pihak pembangkang lantang menuduh Warisan kononnya memberi dokumen kepada PATI, seolah-olah lupa bahawa masalah itu telah ditimbulkan oleh mereka semasa memerintah Sabah selama 25 tahun.

Katanya, Laporan Inkuiri Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) yang pernah ditubuhkan untuk menyiasat aktiviti pemberian dokumen itu telah mengesahkan bagaimana penglibatan kerajaan terdahulu dalam mewujudkan masalah tersebut.

Menurutnya sebuah buku juga pernah dihasilkan yang mendedahkan bagaimana kelicikan kerajaan sebelum ini mendaftarkan PATI bagi membolehkan mereka memiliki dokumen dan mengundi kerajaan terdahulu dalam pilihan raya.

“RCI telah mengesahkan perkara ini, malah buku yang dihasilkan penulis, Chong Eng Leong menyebut bagaimana PATI didaftarkan untuk tujuan menambah undi oleh kerajaan terdahulu.

“Buku tersebut turut menyebut nama bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman tetlibat dengan projek PATI tetapi beliau langsung tidak pernah menyangkal atau menyaman penulis berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Azis yang juga Timbalan Menteri Dalam Negeri berkata demikian bagi mengulas kewujudan satu sindiket yang aktif menjual borang permohonan dokumen palsu yang tertera logo lama Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan logo Warisan kepada warga asing.

Menurut beliau, sindiket berkenaan wujud kerana mengambil kesempatan daripada tindakan pemimpin pembangkang yang menuduh Warisan memberikan dokumen kepada PATI dan disebarkan di media sosial untuk mempengaruhi orang ramai.

Tegas beliau, Warisan akan memberi sokongan padu kepada pihak berkuasa untuk menangani aktiviti sindiket itu dan mendesak pembangkang agar berhenti membuat tuduhan kerana boleh menyebabkan masalah tersebut menjadi lebih serius.

“Warisan juga mendesak mana-mana parti pembangkang supaya menghentikan tuduhan politik kononnya Warisan memberi dokumen pengenalan diri kepada PATI kerana tuduhan ini yang disebar di media sosial menyebabkan pihak sindiket mengambil kesempatan terhadap pihak yang terpedaya dengan tuduhan-tuduhan palsu itu.

“Pemimpin-pemimpin pembangkang ini perlu disedarkan bahawa apa yang berlaku sekarang adalah hasil peninggalan ketika mereka menjadi kerajaan dahulu yang perlu dibersihkan oleh Warisan,” jelasnya. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *