Kemasukan Bersatu ke Sabah perlu dan tepat pada masanya – Azman

Azman Ruslan

KENINGAU, 17 Mei – Ketua penaja Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Keningau, Azman Ruslan, 49, berkata keputusan parti itu untuk memasuki Sabah adalah perlu dan tepat pada masanya.

Beliau berkata ini kerana parti-parti yang berpangkalan di Semenanjung seperti DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) telah lama bertapak di Sabah dan tidak menjadi isu politik ketika itu.

“Malah, ia akan memberi peluang dan alternatif bagi rakyat Malaysia di Sabah untuk melibatkan diri dalam perspektif demokrasi yang lebih meluas dengan menyertai parti-parti politik pilihan mereka, tanpa mengira sama ada parti itu berasaskan Sabah atau peringkat nasional,” katanya.

Azman berkata Bersatu adalah sebahagian daripada kerajaan Pakatan Harapan dan adalah dijangka secara meluas bahawa kebanyakan rakyat Malaysia di Sabah teruja untuk menyertai parti itu sebaik ia memutuskan untuk memasuki Sabah.

“Oleh itu,adalah tidak mengejutkan apabila beribu-ribu penyokong sanggup datang dari dekat dan jauh untuk menyaksikan pelancaran Bersatu di Penampang, Sabah, pada 6 April.

“Secara jujur, kemasukan Bersatu ke Sabah bukan sahaja perlu tetapi tepat pada masanya kerana rakyat Sabah sedar bahawa menyertai parti itu akan memberi manfaat kepada Sabah dan rakyat dalam banyak aspek, terutama dalam menstabilkan ekonomi negeri.

“Saya bertemu dengan ramai rakyat di Sabah dan mereka seolah-olah teruja dan yakin bahawa Bersatu akan membawa harapan baharu kepada mereka,” katanya kepada Bernama.

Azman adalah antara 25 ketua penaja yang menerima surat pelantikan selepas menghadiri upacara anvgkat sumpah di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya pada majlis berbuka puasa anjuran Bersatu pada 14 Mei.

“Saya berterima kasih kepada kepimpinan Bersatu kerana memberi saya peluang untuk memimpin pembentukan parti itu di Keningau. Keutamaan saya sekarang ialah mengurus dan menyelesaikan proses penubuhan bahagian dan cawangan, ” kata Azman.

— BERNAMA