Keluarga terkejut Farid dihukum penjara

FADZIL (kiri) menemani Farid ketika dihadapkan ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya sebelum ini. FOTO Aizuddin Saad

“KELUARGA kami masih lagi terkejut dengan berita ini,” kata Fadzil Zahari, adik kepada pelakon Datuk Farid Kamil mengenai hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya terhadap abangnya, hari ini.

Fadzil ketika dihubungi Harian Metro tidak dapat berkongsi butiran lanjut memandangkan peguam Farid dalam proses untuk membuat rayuan.

“Peguam Farid tengah mohon rayuan lagi. Kami mohon ruang,” katanya ringkas.

Sementara itu, pengurus Farid, Saufee Miftah memaklumkan Farid berada dalam keadaan baik sebaik dijatuhi hukuman penjara.

“Farid dalam keadaan baik. Maaf, saya tak boleh bagi apa-apa kenyataan,” katanya.

Terdahulu Harian Metro melaporkan Farid dijatuhi hukuman penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas kesalahan menggunakan dadah jenis ganja THC atau Tetra Hydrocannibol Januari tahun lalu.

Majistret Nor Ariffin Hisham membuat keputusan itu terhadap Farid, 38, selepas dia yang sepatutnya membela diri hari ini, memilih untuk berdiam diri.

Mahkamah juga tidak membenarkan hukuman itu ditangguhkan dan Farid akan dihantar menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang hari ini juga. – Berita Harian