Kaji potensi Telupid jadi tarikan ekopelancongan berasaskan gajah

ANGGOTA JHL Sandakan melakukan translokasi gajah dari Ladang Bimbingan di Telupid ke Gunung Rara, baru-baru ini sebagai usaha mengawal konflik gajah di Telupid. – Foto ihsan JHL

SANDAKAN: Satu kajian sedang dilakukan bagi mengenal pasti potensi Telupid menjadi lokasi baharu tarikan ekopelancongan berasaskan hidupan liar, terutama gajah.

Kajian untuk menilai peluang dan cabaran melaksanakan aktiviti ekonomi pelancongan berasaskan gajah itu dijalankan Seratu Aatai, iaitu projek yang menumpukan usaha memahami ekologi gajah di luar kawasan perlindungan.

Pegawai Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sandakan, Hussien Muin, berkata pelaksanaan kajian itu yang diluluskan Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, dijangka siap tahun ini dengan meneliti bagaimana kehadiran gajah dapat mewujudkan sumber ekonomi kepada penduduk setempat.

Beliau berkata, kajian itu juga selaras sasaran kerajaan untuk mewujudkan kawasan pelancongan baharu di setiap daerah dalam tempoh lima tahun.

“Apabila siap nanti, kajian ini akan dipasarkan untuk memberi panduan mewujudkan destinasi ekopelancongan berasaskan gajah.

“Ini antara usaha bagi mengubahkan konflik menjadi sumber sosioekonomi kepada penduduk seperti yang berlaku di Sukau, Kinabatangan, suatu ketika dulu,” katanya kepada BH, di sini.

Konflik kehadiran gajah di Telupid bermula sejak 2013 selepas beberapa kumpulan haiwan itu dipercayai dari Hutan Simpan Deramakot, kira-kira 80 kilometer dari kawasan terbabit, dikesan merosakkan tanaman dan harta benda penduduk.

Difahamkan, sekurang-kurangnya ada 35 gajah Pygmy Borneo dikesan kerap ke Telupid menyebabkan penduduk beberapa kampung seperti Kampung Liningkung, Bauto, Gambaron, Kampung Telupid dan Pekan Telupid, berasa terancam.

Sejak 2013 juga, lapan gajah yang menceroboh kawasan berkenaan ditangkap dan dipasang kolar dalam usaha JHL memantau pergerakan haiwan berkenaan.

Projek Seratu Aatai yang bermaksud perpaduan dalam bahasa Sungai, bertujuan membangunkan keupayaan tempatan untuk menangani konflik antara gajah dengan manusia di Sabah. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *