Lelaki ancam penggal kepala Jokowi ditangkap

LELAKI yang mengancam untuk memenggal kepala Jokowi dalam satu video yang tular. FOTO Agensi

Jakarta: Polis daerah Metro Jaya menangkap seorang lelaki yang mengancam untuk memenggal Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) dalam satu video yang viral di media sosial baru-baru ini.

“Iya, sudah kami tangkap. Dia ditangkap di sebuah rumah di Parung, Bogor, Jawa Barat pada jam 8 malam (waktu tempatan), malam tadi,” kata jurucakap polis Metro Jaya, Argo Yuwono yang dipetik Merdeka.com.

Menurut media Indonesia, rumah lelaki yang dikenali sebagai HS itu turut dilaporkan digeledah pihak berkuasa.

Argo memberitahu, lelaki itu bakal didakwa atas tuduhan mengancam dan mahu membunuh presiden Indonesia dengan mengeluarkan kata-kata yang tidak wajar.

Video berkenaan pada mulanya menunjukkan sekumpulan penunjuk perasaan berhimpun di depan pejabat Badan Pemantau Pilihan Raya Umum Indonesia pada Jumaat lalu.

Seorang lelaki yang memakai jaket coklat tiba-tiba muncul dan berkata dia mahu memenggal kepala Jokowi.

Video itu kemudiannya tular di media sosial menyebabkan beberapa individu membuat laporan polis. – Agensi

302